Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menimbulkan tanda tanya kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mempersoalkan apakah kelayakan Shahidan sehingga dilantik kepada jawatan tersebut.

“Saya kurang pasti apakah kelayakan dan latar belakang beliau dalam hal perumahan.

“Saya juga hairan mengapa kerajaan suka memberi dan melantik ahli Parlimen jawatan dan pangkat dalam hal komersial, agensi kerajaan, GLC walhal banyak lagi orang muda yang bijak pandai menguruskannya,” katanya di Facebooknya hari ini.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, pelantikan mana-mana ahli Parlimen kerajaan tidak perlu diteruskan kerana ramai lagi bakat-bakat muda khususnya mempunyai idea dan usaha yang lebih bagi memikul tanggungjawab berkenaan.

“Dalam hal perumahan juga, ramai lagi orang muda yang perlu diangkat dan diambil memegang jawatan ini. Hala tuju kerajaan dalam memberi jawatan GLC, syarikat kepada ahli Parlimen tak perlulah diteruskan.

“Buka Parlimen dan bagi ahli-ahli Parlimen bertugas. Itulah tugas hakiki semua ahli Parlimen yang rakyat mahu tengok, bukan jaga GLC dan syarikat-syarikat,” katanya lagi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini mengumumkan Shahidan dilantik ke jawatan Pengerusi PR1MA berkuat kuasa serta merta.

Zuraida beralasan pengalaman lima penggal Shahidan sebagai wakil rakyat dan dalam tadbir urus yang ada pada beliau amat diperlukan untuk melonjakkan prestasi PR1MA. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Shahidan Kassim dilantik pengerusi baharu PR1MA – Zuraida