Salah satu program serahan produk Origami Corner Chair kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sri Utama, Ayer Keroh disampaikan oleh Naib Canselor UTeM Professor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim (tengah) bersama dengan Penolong Naib Canselor Pejabat Jaringan Industri dan Masyarakat UTeM, Prof Madya Ir Dr Md Nazri Othman (2 dari kanan), Pengarah Pusat Pembangunan Komuniti dan iCOE UTeM, Prof Madya Dr Effendi Mohamad (3 dari kiri) dan ketua penyelidik Mohd Azlan Mohamed (3 dari kanan) di Melaka baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menyampaikan sumbangan sebanyak 100 unit produk inovasi Origami Corner Chair (OCC) kepada golongan yang memerlukan.

Produk OCC itu dibangunkan sendiri oleh kumpulan penyelidik UTeM.

Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr Raha Abdul Rahim berkata, produk inovasi OCC dibangunkan menerusi dana Malaysia Social Innovation (MySI) dari Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI).

Katanya, kumpulan penyelidik UTeM serta Pejabat Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat telah berjaya memperoleh dana MySI pada tahun 2019 yang berjumlah RM61,204.

Ketua penyelidik Mohd Azlan Mohamed sedang memberikan penerangan tentang produk inovasi OCC bagi kegunaan mereka yang memerlukan.

“Maka, dengan dana tersebut projek ini telah dijalankan dengan tajuk ‘Bantuan OCC kepada Kanak-kanak Cerebral Palsy (CP)’.

“OCC merupakan inovasi terbaharu dalam kategori alatan rehabilitasi kanak-kanak CP yang mempunyai banyak penambahbaikan berbanding corner chair yang sedia ada di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Raha, OCC memberi manfaat kepada dua pihak iaitu pesakit CP kanak-kanak dan penjaga atau juruterapi yang menguruskan pesakit oleh kerana reka bentuknya yang unik.

“OCC ini mempunyai kelebihan yang jauh lebih baik kerana ianya memenuhi spesifikasi tambahan yang lebih mesra pengguna dan kos pembuatannya juga telah ditambahbaik,” ujarnya

Pesakit telah disaring daripada segi keperluan. Oleh itu, keutamaan bantuan akan diberikan kepada golongan B40 dan penerima bagi kategori pesakit individu.

Selain itu, katanya, sebanyak 19 unit lagi disumbangkan kepada PPDK di Melaka dan juga NGO berkaitan CP iaitu Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum Malaysia (GAPS).

Projek pembangunan produk inovasi OCC itu diketuai oleh ketua penyelidik Mohd Azlan Mohamed dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) bersama ahli kumpulannya Mohd Kamal Musa dan Mohd Qadafie Ibrahim.

Produk berkenaan dibangunkan oleh beliau sejak tahun 2017 setelah penyelidik membuat lawatan ke rumah salah seorang pesakit CP di Melaka bersama kumpulannya.

Paten reka bentuk produk ini telah difailkan pada tahun 2019 dan  berjaya memperoleh beberapa anugerah rekabentuk antaranya di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2019, International Conference And Exposition On Invention (PECIPTA) 2019 dan International Festival Of Innovation On Green Technology (I-FINOG) 2019. – MalaysiaGazette