Beberapa peralatan sekatan jala raya rosak akibat dirempuh oleh seorang pemandu mabuk di laluan keluar tol Damansara.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita tempatan ditahan selepas merempuh peralatan sekatan jalan raya di laluan keluar tol Damansara, pada jam 1.05 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, akibat rempuhan itu beberapa peralatan yang digunakan untuk sekatan mengalami kerosakan.

Suspek, wanita berusia 32 tahun itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya untuk menjalani ujian pernafasan alkohol kerana dia dipercayai mabuk.

Nik Ezanee berkata, wanita yang bekerja sebagai pakar kecantikan di Puchong itu disahkan berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan semasa memandu.

Suspek dilepaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette