Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hassan.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh persidangan Parlimen secepat mungkin.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, rakyat teruja dan gembira dengan titah pengisytiharan yang dibuat oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.

Dalam titah YDPA, Parlimen boleh bersidang walaupun dalam tempoh darurat dan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menetapkan tarikh pembukaannya.

Katanya, perkara itu telah meredakan kemarahan rakyat selepas lain-lain institusi dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun katanya, sehingga ke hari ini Parlimen masih lagi digantung daripada mengadakan persidangan.

“Ini memberi persepsi bahawa darurat yang Seri Paduka isytihar adalah untuk menyelamat Perdana Menteri yang telah hilang majoriti.

“Ia memberi kesan yang amat buruk terhadap institusi raja-raja apabila begitu ramai netizen mengecam serta imej Malaysia di peringkat global terus di cemuh dan di hina,” katanya kepada media ketika membacakan memorandum yang diserahkan kepada Agong, di pekarangan pintu 3, Istana Negara hari ini.

Bagaimanapun, Nasrul berkata, sehingga kini tidak ada tanda-tanda Parlimen akan dipanggil untuk bersidang.

Lebih mendukacitakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan yang bertanggungjawab terhadap urusan Parlimen membuat kenyataan bahawa sidang Parlimen tidak akan diadakan sehingga tamat tempoh darurat pada 1 Ogos nanti.

Akibatnya, rakyat dan masyarakat dunia luar kembali mengutuk dengan mengatakan Malaysia menuju ke arah pemerintahan diktator serta mempunyai kepimpinan kerajaan yang dilantik oleh Agong ibarat keris makan tuan, ujarnya.

“Wira Putra berdatang sembah memohon ampun perkenan DYMM Tuanku semoga institusi Raja Raja terus di pandang mulia dan menjadi payung negara kepada semua rakyat jelata.

“Institusi Raja-Raja iaitu Majlis Raja-Raja Melayu adalah pelindung kepada Perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya.

Ditanya rasional pihaknya menghantar memorandum sedangkan Putra tidak mempunyai sebarang kerusi di Parlimen, Nasrul berkata, ia dilakukan kerana mewakili suara rakyat. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Wira Putra bukan tak tahu Parlimen sekian lama gagal menjamin majoriti ekonomi untuk majoriti pribumi Melayu lebih bermuka tebal di global penghinaan antarabangsa. Syabas Azeris ambil balik Nagorno-Karabah.

Comments are closed.