Beberapa individu yang ditahan ketika serbuan Ops Dadu yang di jalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di Kinrara,Selangor. Foto FIKRI YAZID, 10 MAC 2021.

SERDANG – Selepas dua hari melakukan intipan, sepasukan polis daerah Serdang menggempur sebuah premis di Blok A, Pusat Perindustrian Kinrara 3, Puchong yang dijadikan tempat bermain judi dalam talian.

Serbuan Op Dadu itu dilakukan pada jam 7.30 malam tadi selepas polis berjaya memasuki premis itu menerusi pintu belakang.

Dalam serbuan itu, polis menjumpai 11 orang pelanggan termasuk seorang warga Bangladesh.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah bertanya sesuatu kepada seorang wanita warga tempatan ketika Op Dadu di Kinrara, Selangor. Foto FIKRI YAZID, 10 MAC 2021.

Mereka yang ditahan berumur antara 30 hingga 60 tahun.

Sebanyak 12 komputer riba, sebuah modem dan wang tunai RM258 disyaki hasil judi dalam talian turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah berkata, modus operandi sindiket judi itu berselindung di sebalik salah sebuah kedai.

Katanya, pelanggan sindiket judi ini hanya akan masuk ke dalam premis menerusi pintu belakang yang dikhususkan untuk pelanggan dikenali sahaja bagi mengelak aktiviti dihidu polis.

Menurutnya, seorang pekerja mendakwa premis itu baru beroperasi seminggu dengan gaji diterima sebanyak RM1,500 sebulan.

Individu yang terlibat dalam aktiviti judi dalam talian dibawa ke IPD Serdang selepas serbuan Ops Dadu di Kinrara,Selangor. Foto FIKRI YAZID, 10 MAC 2021.

Kesemua mereka yang berada di dalam premis itu dibawa ke balai polis untuk ujian saringan air kencing.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta rumah Judi Terbuka 1953 dan kompuan RM1,000 di bawah Seksyen 16(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Manakala penjaga premis judi ini akan berdepan tindakan di bawah Seksyen 4(1)c) AJRT 1953 dan kesalahyan denda maksimum RM200,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali,” katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut. – MalaysiaGazette