Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat projek pembangunan infrastruktur dan prasarana di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi bernilai RM600 juta  menerima Surat Setuju Terima (SST) hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Antaranya adalah projek Pembinaan dan Penyiapan Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan
Prima (PKP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak.

Projek yang melibatkan pembinaan hospital pengajar dengan kapasiti 300 buah katil ini akan dilaksanakan oleh syarikat Perbena Emas Sdn. Bhd.

Tempoh pembinaan bagi keseluruhan projek adalah empat tahun dengan nilai kontrak sebanyak RM485.99 juta.

Seterusnya,  projek Kompleks Sukan Kampus Gong Badak di Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Kuala Terengganu yang bakal dijalankan oleh syarikat Sincere Image Sdn. Bhd dengan kos kontrak RM18.89 juta.

Sementara itu, FNA Builders & Services Sdn. Bhd pula akan membina Pusat Islam dan Pembangunan Insan serta Masjid menerusi projek Penyiapan Baki Kerja Projek Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Dengan harga kontrak RM11.90 juta, pembinaan masjid berkapasiti 3,500 jemaah bakal
memberi manfaat kepada pelajar, kakitangan dan komuniti setempat.

Projek terakhir adalah pembinaan Blok Baharu Bagi Kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta Lain-Lain Kemudahan Mesra OKU di SMK Mutiara, Wilayah Persekutuan
Labuan.

Porjek bernilai RM9.96 juta ini bakal dijalankan oleh Jangka Prestasi Sdn. Bhd..

Apabila siap nanti, projek kemudahan mesra OKU ini bakal memberi manfaat kepada pelajar pendidikan khas yang semakin bertambah di sekolah tersebut.

Fadillah ketika berucap dalam majlis penyerahan itu menaruh harapan agar keempat-empat syarikat berkenaan dapat menyiapkan kesemua projek mengikut tempoh yang ditetapkan.

Selain itu, syarikat-syarikat yang dilatih diminta mematuhi kualiti dan spesifikasi yang telah ditetapkan di dalam SST.-MalaysiaGazette