Seorang penunjuk perasaan membuang objek ke arah Istana Negara pada Hari Wanita Sedunia, di Mexico City. foto agensi

MEXICO – Seramai 81 orang cedera akibat pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan di ibu kota pada Hari Wanita Sedunia, Isnin lalu.

Pertempuran tercetus akibat kemarahan terhadap sokongan Presiden Andres Manuel Lopez Obrador kepada seorang ahli politik yang dituduh merogol.

Ketegangan sudahpun mula dirasakan antara pemerintah dengan para aktivis penyokong gerakan wanita.

Lopez Obrador berkata, keganasan itu mempunyai motif politik yang dipimpin oleh penceroboh konservatif.

“Rakaman-rakaman video para penunjuk perasaan menggunakan tukul mengetuk penghadang besi yang dipasang untuk melindungi bangunan-bangunan dan monumen bersejarah jelas mahu merosakkan istana negara.

“Mereka juga menjatuhkan sebahagian penghadang setinggi 10 kaki (3 meter) yang didirikan untuk melindungi istana negara.

“Jika tembok tidak dipasang, kemungkinan orang ramai berada dalam keadaan bahaya,” katanya.

Meskipun jumlah penunjuk perasaan lebih kecil berbanding tahun lalu, beribu-ribu orang yang kebanyakannya daripada wanita berarak di Mexico City.

Mereka menyembur cat di jalan raya dengan melontarkan mesej-mesej menuduh pemerintah tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk mendakwa orang yang melakukan pembunuhan terhadap wanita.

Bagaimanapun, menurut Kementerian Kesihatan Awam Bandar Mexico, dalam kalangan pegawai polis di perarakan itu hampir kesemuanya adalah wanita.

“Difahamkan, 62 cedera dan sembilan lagi telah dimasukkan ke hospital dengan kecederaan yang dialami termasuk lebam-lebam serta patah tulang,” ujarnya. – MalaysiaGazette