KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis yang sedang membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta cedera apabila pemandunya cuba melarikan diri dengan melanggar motosikal dan anggota polis terbabit malam semalam.

Malah anggota polis yang berada di hadapan kereta itu terpaksa berpaut dalam keadaan kereta bergerak pada jarak kira-kira 150 meter sebelum pemandunya berjaya melepaskan diri.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 10.30 malam semalam apabila sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Bandar Baru Bangi yang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

Tambah beliau, kereta tersebut diparkir di kawasan letak kereta di restoran makanan segera, McDolands, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi dengan enjinnya dihidupkan.

“Anggota terlibat menghampiri kereta berkenaan dan cuba membuat pemeriksaan dengan menyuluh ke dalam serta mengetuk cermin kereta tersebut yang mana terdapat seorang lelaki dan seorang perempuan berada di dalam kereta itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, sejurus mengetahui kehadiran polis dan diarahkan keluar dari kereta, lelaki yang berada di dalam kereta tersebut cuba melarikan diri dengan melanggar motorsikal anggota polis yang berada di hadapannya.

“Anggota yang terlibat dalam kejadian ini telah menggunakan segala usaha dan tindakan yang perlu untuk memberhentikan kereta tersebut namun suspek dalam kejadian ini terus melarikan diri ke arah Jalan Persiaran Jaya Bandar Baru Bangi,” tambahnya.

Mohd Zaid berkata, anggota polis terlibat mengalami kecederaan ringan dan motorsikal yang ditunggang mengalami kerosakan.

Walaupun suspek berjaya melarikan diri namun anggota polis yang terlibat telah dapat mengecam nombor pendaftaran kereta suspek, ujarnya .

Tambah beliau, bertindak daripada maklumat nombor kenderaan yang telah dicamkan itu, anggota polis Ibu Pejabar Daerah (IPD) Kajang berjaya menahan pasangan yang terbabit dalam kejadian tersebut.

Katanya, polis telah membuat permohonan reman ke atas kedua-dua individu terbabit di Mahkamah Bandar Baru Bangi pada pagi ini bagi tujuan siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen186/307/332 Kanun Keseksaan, ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804. – MalaysiaGaette