Seorang wanita Indonesia berusia 39 tahun ditahan kerana membunuh wanita jiran kenalan rapatnya demi barang kemas sebelum menyorokkan mayat bawah katil untuk menyelesaikan hutangnya dalam kejadian semalam.

SUBANG – Buntu memikirkan jalan untuk melangsaikan hutang sebanyak RM5,000, seorang wanita tergamak mengumpan jirannya supaya datang ke rumah sebelum bertindak membunuh mangsa.

Suspek yang berusia 39 tahun kemudian mengambil barang kemas yang dipakai mangsa dan menggadaikannya di sebuah premis pajak di Subang dalam kejadian di pangsapuri Angsana, Subang Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, mayat mangsa berusia 54 tahun yang berasal dari Indonesia itu telah dililit dengan selimut dan disorok oleh suspek di bawah katil di bilik tidurnya selama sehari selepas pembunuhan sekitar jam 4 petang kelmarin.

Suspek dipercayai telah menghantuk kepala mangsa ke lantai dan menyorokkan mayat mangsa di bawah katilnya sebelum membersihkan segala kesan darah di ruang tamu rumah.

Kejadian terbongkar apabila suami mangsa pulang dari kerja sekitar 7 malam mendapati pintu rumahnya tidak berkunci dan isterinya tiada di rumah manakala telefon bimbit serta barang peribadinya ditinggalkan di dalam kediaman tersebut.

Dia kemudiannya membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa di balai polis USJ8.

“Kali terakhir dia menghubungi isterinya adalah pada jam 3.46 petang sebelum mangsa dibunuh sekitar 4 petang pada hari yang sama.

“Polis yang memulakan siasatan memanggil suspek wanita warga Indonesia yang sangat rapat dengan mangsa bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat pasukan D9 IPD Subang Jaya akhirnya sekitar 6 petang semalam suspek mengaku membunuh mangsa sekitar 4 petang pada Isnin di rumah sendiri yang terletak pada jarak 10 meter dari kediaman mangsa di tingkat dua pangsapuri ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Suspek wanita Indonesia yang kemudian dibawa ke rumahnya menunjukkan mayat mangsa yang disembunyikan di bawah katil di bilik tidurnya.

Soal siasat terperinci polis mendapati suspek seorang pembuat kuih untuk dijual oleh mangsa di gerai perniagaannya berhampiran pangsapuri itu.

Suspek yang sudah berkahwin dengan lelaki berasal dari Sabah dikurniakan dua anak berusia setahun dan tiga bulan manakala mangsa mempunyai seorang anak berusia 17 tahun yang dijaga bapa saudaranya di Lembah Klang.

“Semasa kejadian kedua-dua anak suspek berada di rumah manakala suaminya tidak berada di rumah kerana keluar bekerja.

“Polis juga menahan suami suspek berusia 48 tahun bagi membantu siasatan sama ada dia bersubahat dengan isterinya atau sebaliknya,” katanya,

Suspek dan suaminya dijangka direman hari ini di Mahkamah Majistret Shah Alam dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi membantu polis melengkapkan siasatan kes. – MalaysiaGazette