Tikus antara yang ditemui di dalam kedai runcit di Jalan Magazine, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Sebuah kedai runcit yang menjual pelbagai barang keperluan harian termasuk barang basah di Jalan Magazine, di sini, diarah tutup.

Tindakan itu dibuat menerusi Ops Tegar yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) selepas premis berkenaan didapati gagal mematuhi tahap kebersihan standard.

Mohd Wazir menunjukkan sabun yang mempunyai kesan gigitan tikus serta produk makanan dari Bangladesh yang dipercayai diimport secara tidak sah.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, hasil pemeriksaan pihak penguatkuasa menemui lipas serta tikus berkeliaran di sekitar premis terbabit.

Turut ditemui seekor tikus mati di tepi pintu sejuk beku yang dijadikan tempat simpanan ikan.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, daging beku serta ikan disimpan di dalam peti sejuk yang rosak ini, sekali gus mengundang risiko pencemaran ke atas barang basah itu.

Kedai runcit tersebut turut melakukan penyembelihan ayam di dalam premis.

“Selain itu, pemilik turut menjual beberapa produk makanan import dari Bangladesh tanpa label sah serta menyimpan ayam hidup dan melakukan proses penyembelihan di dalam premis,” katanya kepada pemberita selepas operasi pada jam 1 tengah hari tadi.

Ketika pemeriksaan dibuat timbul perselisihan faham antara pembantu kedai warga tempatan dengan bahagian perlesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkaitan isu membiarkan warga asing menjaga premis tanpa pemantauan pemilik tempatan.

Tambah Wazir, pelbagai kesalahan dikenalpasti dalam pemeriksaan tersebut menyebabkan pihaknya mengambil langkah penutupan premis.

Najis tikus, tikus mati serta lipas antara ditemui di dalam kedai runcit tersebut.

“Kita lihat ada barang dalam kedai runcit itu mempunyai kesan gigitan tikus selain barang mentah diletakkan di atas lantai. Ini semua mengundang risiko pencemaran dan keracunan makanan.

“Kita tidak mahu pengguna terkesan akibat sikap sambil lewa peniaga yang gagal memastikan tahap kebersihan sepatutnya,” ujar Mohd Wazir.

Premis berkenaan turut dikenakan notis penutupan mengikut Undang-undang Kecil (Establisymen Makanan) MBPP 1991. – MalaysiaGazette