YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan replika cek Bantuan Awal Persekolahan Pelajar Tahun 1 kepada Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Abdul Rahim Yunus disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran Dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad di Wisma Pahang.

KUANTAN – Sebagai memberi suntikan semangat dan dorongan kepada murid Tahun 1 untuk terus menerokai ilmu pengetahuan, kerajaan negeri Pahang memberi sumbangan sebanyak RM100 seorang menerusi Program Bantuan Awal Persekolahan Bagi Murid Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2021.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM2.573 juta itu bakal dimanfaatkan oleh 25,730.

Jumlah tersebut melibatkan seramai 25,645 pelajar di sekolah-sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, manakala 85 lagi merupakan pelajar di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di bawah Yayasan Pahang.

Menurut Wan Rosdy, setiap murid akan menerima secara one-off dalam bentuk tunai yang akan diagihkan mengikut pentadbiran sekolah masing-masing.

Jelasnya Program Bantuan Awal Persekolahan bagi Murid Tahun 1 Sesi Persekolahan 2021 ini merupakan sebahagian daripada pelbagai inisiatif di bawah Bantuan Prihatin Pahang (B.P.P) 2021, yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Negeri 2021 pada 16 November lalu.

“Jumlah pemberian RM 100 tahun ini ialah kenaikan sebanyak RM50 merupakan tambahan sekali ganda berbanding tahun sebelum ini.

“Tujuannya ialah untuk memberi semangat belajar kepada murid-murid tahun 1, selain membantu sedikit sebanyak ibubapa masing-masing dalam penyediaan keperluan anak-anak mereka menghadapi alam persekolahan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis penyampaian bantuan program tersebut di Wisma Persekutuan, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Abdul Rahim Yunos.

Menurut Wan Rosdy, sungguhpun nilai bantuan itu mungkin kecil bagi sesetangah orang namun para penerima diharap memanfaatkannya.

Tambah beliau, sumbangan tersebut menurut kemampuan kewangan negeri. – MalaysiaGazette