penjara
Gambar hiasan.

KUALA BERANG – Polis menahan seorang pengetua sebuah sekolah menengah di Hulu Terengganu di sini bagi membantu siasatan berhubung kes cabul dan gangguan seksual yang berlaku sejak Januari hingga hujung bulan lepas.

Suspek berusia 52 tahun tersebut ditahan di rumahnya di Kuala Nerus kira-kira pukul 11 malam Isnin lepas, susulan laporan polis yang dibuat oleh empat wanita yang merupakan kakitangan dan pekerja kontrak kebersihan sekolah berkenaan pada 8 dan 9 Mac.

Menurut sumber kesemua mangsa mendakwa suspek bertindak mengganggu mereka dengan cara menghantar teks berunsur lucah melalui aplikasi WhatsApp dan turut mencabul secara fizikal ketika berada di sekolah tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek yang kini direman selama empat hari bermula semalam.

Beliau berkata suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

“Kes tersebut turut disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

— BERNAMA