Beberapa surat pajak yang dirampas susulan tangkapan seorang pekerja kedai emas di Sungai Way dipamerkan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya. Foto SHAFIY ZUL, 10 MAC 2021.

PETALING JAYA – Akibat rugi besar dalam pelaburan pertukaran mata wang asing (forex), seorang jurujual wanita bertindak mencuri barang kemas di tempat kerjanya di Sungai Way sejak dua tahun lalu.

Perbuatan itu terbongkar selepas majikannya mengalami kerugian sebanyak RM2 juta.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek ditahan di rumahnya di Sungai Way selepas majikannya yang berusia 67 tahun membuat laporan polis 1 Mac lalu.

Peniaga wanita itu mendakwa telah melakukan pemeriksaan badan ke atas semua kakitangannya selepas menutup kedai pada 18 Januari 2020 dan mengesan suspek mengikat rantai emas pada pehanya.

“Wanita (pemilik kedai emas) mendakwa mengalami kerugian RM2 juta selepas suspek melakukan kegiatan jenayah curi barang kemas dari kedainya selama dua tahun lalu sejak tahun 2019 hingga sekarang.

“Bertindak atas laporan itu, pada hari yang sama sekitar 4.30 petang, polis telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Way dan merampas lima keping surat pajak gadai atas nama suspek yang dipercayai barang kemas yang dicuri di kedai emas majikannya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Suspek pernah  bekerja di kedai emas itu sejak tahun 1998 hingga 2004 sebelum kembali bekerja di premis yang sama pada tahun 2009 hingga 2020.

Susulan tangkapan itu, polis menyerbu tiga kedai pajak gadai di Sungai Way dan menahan dua wanita tempatan berusia 27 hingga 36 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 22 tahun yang merupakan pengurus kedai pajak gadai itu kerana membeli barangan kemas hasil curi.

“Kita berjaya merampas empat utas rantai leher emas, sembilan utas gelang tangan emas, lima pasang subang emas, dua bentuk cincin emas, dua bentuk loket emas, enam keping resit atas nama suspek dan dua ketulan emas yang telah dileburkan, kesemuanya dianggarkan bernilai RM138,100,” tambah beliau.

Suspek telah dituduh di Mahkamah Petaling Jaya semalam mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Dalam kes kejayaan berasingan, polis berjaya menumpaskan satu sindiket kes pecah kenderaan dan curi komponen didalangi seorang lelaki berusia 30 tahun pada Isnin lalu di Dataran Mentari.

Nik Ezanee memaklumkan, salah seorang rakannya masih bebas dalam kes sama sedang diburu polis.

Suspek bernama Ruben Muniandy, berusia 24 tahun.

Ujarnya, suspek yang ditahan telah mengaku terlibat dalam 11 kes pecah kereta di sekitar kawasan tersebut. – MalaysiaGazette