Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Pendirian UMNO untuk tidak mendukung Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 tidak bermakna parti itu mengenepikan kepentingan Melayu tetapi parti ini ada perhitungan politiknya tersendiri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO bukan parti dengan ‘herd mentality’.

Oleh itu, UMNO berpendirian survival UMNO itu lebih utama daripada survival PN.

”Dan nampaknya ramai orang lupa pendirian UMNO ini berakar dari pendirian penyokong akar umbinya.

”UMNO parti orang kebanyakan. Kami bukan parti yang terbentuk dengan percaturan golongan elit yang khianat pada mandat rakyatnya,” kata beliau dalam kenyataannya di sini.

Beliau mengulas mengenai gesaan untuk UMNO memikirkan semula pendiriannya untuk tidak mendukung Perikatan Nasional pada PRU ke-15.

Katanya, pelbagai alasan digunakan terutama sekali retorik perpaduan ummah bahawa seolah-olah UMNO mengabaikannya, sedangkan UMNO tidak pernah mengabaikan kepentingan ummah walaupun seketika.

Tegasnya,  UMNO yang merintis jalan perpaduan Melayu memerdekakan negara.

UMNO juga yang menerima kembali Semangat 46 demi perpaduan Melayu dan UMNO juga yang mengajak Pas untuk bersama menubuhkan Muafakat Nasional.

Bagaimanapun, katanya, yang lebih penting adalah masa depan UMNO ditentukan oleh rakyat, bukan kerjasamanya dengan PN.

”Kerana mendengar hasrat akar umbilah UMNO memutuskan sedemikian bahawa ia akan bertanding sebagai Barisan Nasional.

”Rakyat lah yang akan menentukan jika UMNO ini akan mara atau ditumpaskan.

”Rakyat lah yang akan menentukan segala-galanya dan kepada rakyatlah kita mesti memberi segala tumpuan waktu ini. Bukannya rundingan berterusan peringkat atasan yang tidak akan mepengaruhi pemikiran rakyat pun,” tambahnya.

Khaled turut menyeru kepada seluruh penyokong UMNO supaya bekerja dengan rakyat untuk rakyat bagi memenangkan UMNO pada PRU akan datang.

Katanya, UMNO jangan buang masa dengan polemik politik di peringkat atasan kerana masa depan UMNO adalah pada undi mereka yang biasa-biasa. – MalaysiaGazette