Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah, penggubahan wang haram serta pecah amanah Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid di Mahkamah Tinggi di sini sudah memasuki hari ke-50.

Hari ini, saksi pendakwaan yang ke-96, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Amirudin Nordin mendedahkan, pihaknya tidak menjumpai apa-apa dokumen yang membuktikan dana sebanyak RM26.05 juta itu adalah sumbangan.

Kata Mohd Amirudin, RM26.05 juta yang dimaksudkan itu melibatkan 27 cek yang telah diberikan kepada Tetuan Lewis & Co selaku pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang diasaskan oleh Ahmad Zahid.

Pecahan bagi cek yang diperdengarkan dalam mahkamah ialah MyEG Services Bhd berjumlah RM7.8 juta, Chia Bee Enterprise Sdn Bhd RM10 juta dan Sarana Kencana Sdn Bhd sebanyak RM6 juta.

MAnakala Jogabonito Jewellery & Diamond sebanyak RM250,000 dan Mubarak Hussein berjumlah RM2juta.

Jelas Mohd Amirudin, dalam siasatan pihaknya tidak menjumpai apa-apa dokumen mahupun resit yang membuktikan wang-wang itu adalah untuk tujuan sumbangan.

“Daripada pemerhatian saya, sebanyak 13 cek diberikan oleh MyEG, 10 cek daripada Chia Bee, dua daripada Sarana Kencana, satu daripada Mubarak Hussain dan juga satu cek Jogabonito.

“Saya juga telah mengenalpasti semua pemilik cek-cek ini serta tujuan pembayaran..

“Saya tidak bersetuju jika mengatakan wang itu adalah sumbangan kerana jika benar ianya boleh dilakukan terus ke akaun Yayasan Akalbudi dan tak memerlukan Lewis & Co sebagai pemegang amanah,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah sebentar tadi.

Saksi berkata demikian ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery On hari ini.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan wang haram, dia dituduh menerima cek bernilai puluhan juta daripada pelbagai pihak menerusi Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu digunakan untuk simpanan tetap di bawah nama firma berkenaan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala pembelaan diketuai oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Dalam pada itu, saksi pendakwaan juga mendedahkan kepada mahkamah sebanyak 35 cek telah diuruskan oleh seorang pengurup wang dikenali sebagai Omar Ali Abdullah.

Selain itu, sebanyak lapan keping cek telah diberikan oleh Kiosk Solutions Sdn Bhd, didakwa untuk melobi projek dan dua keping cek daripada Ri-Yaz Assets Sdn Bhd bagi pemulangan bayaran balik pembelian saham tidak berjaya.

Kesemuanya diberikan kepada Tetuan Lewis & Co.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk juga menghadapi 40 tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Shah Alam berkaitan pelaksanaan sistem visa asing Malaysia (VLN) yang belum lagi mula perbicaraannya.

Prosiding bersambung esok. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Saya tak fikir ia sebagai ” fitnah” oleh kerajaan Tun sebagaimana yg didakwa oleh mereka. Dah semakin terang ler tu……tak payah bersuluh2 lagi tu Wak .

Comments are closed.