Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol (empat kiri) bersama Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB Datuk Omar Sidek (tiga, kanan) memegang jersi baharu pasukan Hoki TNB ketika majlis penyerahan jersi pasukan TNB dan TNB Thunderbolts sempena TNBMHL 2021 di ibu pejabat TNB.

KUALA LUMPUR – Naib juara TNB Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) tahun 2020 iaitu pasukan hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) menetapkan sasaran yang tinggi untuk memenangi ketiga-tiga piala yang dipertandingkan musim ini termasuk Piala TNB.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol berkata, ini kerana tanpa penyertaan pemain import untuk liga kali ini, tiada kurangnya pasukan TNB berbanding pasukan pilihan yang bertanding musim ini.

“Seperti nama TNB yang semakin gah di peringkat antarabangsa, kita bukan jaguh kampung. Pasukan-pasukan hoki kita pun perlu untuk berdiri pada tahap yang sama.

“Bagi pasukan Thunderbolts, walaupun lahir daripada program pembangunan hoki, saya harap mereka akan memberikan saingan yang mantap,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan jersi pasukan TNB dan TNB Thunderbolts di ibu pejabat TNB di semalam.

Mohamad Ariff berkata, pasukan TNB meletakkan sasaran yang tinggi kerana kombinasi disiplin, semangat, jati diri dan kekentalan jiwa pemain memberikan TNB kelebihan berbanding pasukan lawan.

Mohamad Ariff Zainol.

TNB akan membuka tirai kejohanan bertemu juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada pertemuan Piala Sumbangsih pada Jumaat ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. Pasukan TNB Thunderbolts pula akan bertemu Maybank dalam perlawanan pembukaan esok.

Sementara itu, Ketua Jurulatih pasukan TNB, Nor Azlan Bakar berkata, ketiadaan pemain import untuk kejohanan tahun ini bakal menjadikan persaingan merebut kejuaraan liga, Piala Sumbangsih dan Piala TNB lebih terbuka.

“Bagi pasukan TNB, kami sememangnya menggunakan pemain tempatan untuk penyertaan selama ini namun ketiadaan pemain import memberi dimensi yang berbeza untuk pasukan yang bersaing dalam liga musim ini,” kata bekas pemain pertahanan negara itu.

“Tahun ini adalah peluang terbaik bagi TNB untuk merangkul kejuaraan liga selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 2010,” katanya.

Tahun lalu pasukan TNB menjadi naib juara liga di belakang UniKL dan bersaing di peringkat separuh akhir Piala TNB.

Selain pasukan TNB, terdapat tujuh pasukan bersaing dalam kategori lelaki liga TNBMHL tahun ini iaitu juara bertahan UniKL, Terengganu Hockey Team (THT), Nurinsafi HT, Universiti Teknologi Mara (UiTM); Maybank; TNB Thunderbolt dan Sabah yang menjadi muka baru musim ini.

Enam pasukan akan bertanding dalam kategori wanita iaitu PKS Uniten–KPT, PDRM Blue Warriors, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA dan Sabah selain dua pasukan baharu, Young Tigress dan UniKL Ladies.

Liga TNBMHL tahun ini mengalami perubahan menerusi format pertandingan liga satu pusingan dengan pasukan yang berada di tangga teratas liga akan muncul selaku juara.

Empat pasukan yang berada pada kedudukan teratas liga pula akan meneruskan pemburuan Piala TNB bagi kategori lelaki dan Piala Vivian May Soars bagi kategori wanita dengan aksi separuh akhir akan dijalankan secara timbal balik bagi menentukan pasukan yang melangkah ke pentas akhir. – MalaysiaGazette