Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi menyerahkan replika cek RM52 juta kepada YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sempena Majlis Sumbangan Pendidikan untuk anak-anak Negeri Pahang.

KUANTAN – Sejak ditubuhkan pada tahun 1982, Yayasan Pahang (YP) terus mengorak langkah menggalas tanggungjawab membangunkan penddikan anak-anak negeri itu dengan peruntukan sebanyak RM1.34 billion telah pun dibelanjakan setakat ini.

Peruntukan besar itu, menurut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah dimanfaatkan oleh 1.7 juta anak Pahang sepanjang tempoh 39 tahun itu.

Yang terbaharu YP memperuntukkan RM52 juta untuk pembangunan pendidikan bagi 61,721 anak Pahang di peringkat sekolah dan pengajian tinggi.

“RM 1.34 billion ini bukanlah calang-calang nilainya dan Kerajaan Negeri berharap ianya benar-benar dimanfaatkan terutamanya kepada bakal penerima untuk tahun kalendar 2021 ini,” katanya dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Pendidikan Yayasan Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Hadir Sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi dan kesemua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri melalui yayasan itu sangat komited dalam memastikan anak-anak Pahang mendapat akses kepada pendidikan dalam pelbagai peringkat pengajian.

Katanya, biasiswa YP juga merupakan penyumbang utama kepada bantuan pendidikan di negeri ini berbanding biasiswa tajaan pihak lain dalalam membangunkan sektor pendidikan menerusi pelbagai program yang efektif.

“Jumlah tersebut melibatkan RM28.7 juta bagi peringkat sekolah melibat 52,753 pelajar.

“Manakala RM18.8 juta untuk Biasiswa Sekolah Menengah (BSM), RM6.3 juta untuk Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan RM 3.6 juta untuk Program Peningkatan Kualiti Pendidikan,” katanya.

Menurut Wan Rosdy,  bagi peringkat pengajian tinggi pula sejumlah RM23.3 juta dimanfaatkan 8, 868 penerima di mana RM17.2 juta untuk pinjaman, RM3.1 juta bagi  biasiswa dan RM3 juta untuk Geran Awal Bantuan ke IPT.

Katanya, permohonan biasiswa hanya dibuat sekali dan akan berterusan sehingga pelajar berkenaan tamat peringkat pengajian tersebut.

Beliau berkata, YP juga membantu pelajar meningkatkan kualiti  pendidikan di sekolah-sekolah melalui program akademik seperti Jawab Untuk Jaya, Intervensi Semua Subjek A (PiSSA), Perancangan Harus Lulus (PERHALUS) dan Program Anak Yatim Permata Hati (PERHATI).

Selain itu, program berimpak tinggi seperti Program Baca Cepat Kawanku dijalankan bagi membantu murid yang tidak boleh membaca pada awal Tahun 1 lagi serta Program Peningkatan Pendidikan Khas bagi membantu Murid Berkeperluan Khas. – MalaysiaGazette