Anggota polis melakukan ujian saringan bagi membendung wabak Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 25 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes positif Covid-19 meningkat sedikit hari ini berbanding semalam, tetapi kekal di bawah 2,000 kes bagi hari keenam berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, rekod hari ini menunjukkan 1,647 kes positif dengan sembilan kematian dilaporkan, berbanding semalam 1,448 kes positif dan lima kematian.

Katanya, daripada jumlah tersebut, hanya lima kes positif Covid-19 dikesan membabitkan import dengan tiga warganegara dan dua bukan warganegara.

Ini menjadikan kes kumulatif bagi positif sebanyak 319,364 kes dengan 1,200 kes kumulatif kematian sehingga hari ini.

Beliau menjelaskan, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 712 kes atau 43.23 peratus.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 619 kes atau 86.94 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Johor sebanyak 170 kes atau 10.32 peratus dan Pulau Pinang sebanyak 169 kes (10.26 peratus),” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 116 kes (7.0 peratus) yang dilaporkan berkaitan kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster DTI Machap Umboo (67 kes).

Sementara itu Kluster Tembok Tapah (38 kes), Kluster Tembok Mempaga (lima kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (tiga kes), Kluster DTI Persiaran Wawasan (dua kes), dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (satu kes).

Menurut Dr Noor Hisham, kes kematian pula melibatkan empat di Selangor, dua di Johor dan masing-masing satu di Perak, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Semua kes kematian melibatkan warganegara dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

Mengenai jumlah kluster, Dr. Noor Hisham berkata, sehingga hari ini sebanyak 1,222 kluster dikenal pasti dengan lima kluster baharu.

Katanya, jumlah kluster yang telah tamat ialah sebanyak 782 kluster, termasuk 14 kluster tamat pada hari ini iaitu Kluster Dialisis Masjid Tanah, Kluster Taman Bukit Petaling, Kluster Yayasan, Kluster Kampung Tanjung Selabu dan Kluster Jalan Raja Muar.

Turut tamat ialah Kluster Jalan Berhala, Kluster Sri Menanti, Kluster Jalan Pengiran, Kluster Lebuh Karak, Kluster Tapak Bina Jalan Puchong, Kluster Tapak Bina Jalan Chulan, Kluster Sri Muda, Kluster Taman Murni, dan Kluster Taman Ikan Jinak.

“Setakat ini, KKM dapati 440 kluster aktif, manakala jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu hari ini ialah 65 kluster.

“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi hari ini adalah Kluster Tapak Bina Queens Waterfront sebanyak 70 kes, Kluster Industri Sungai Gadut (68 kes) dan Kluster DTI Machap Umboo (67 kes).

Beliau turut memaklumkan, terdapat lima kluster baharu yang telah dikenal pasti hari ini, iaitu tiga kluster berkaitan tempat kerja serta masing-masing satu kluster berkaitan komuniti dan pusat tahanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast