Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menggerakkan pasukan petugas melibatkan 10 agensi bagi menangani masalah pencemaran Sungai Kereh, Tasek Gelugor di Pulau Pinang.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya optimis dengan bertindak segera menghantar pasukan petugas bagi menjalankan kerja mengkaji dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Kata beliau, pasukan petugas itu ditubuhkan selepas beliau membuat pertemuan dengan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling (EQC) pada 24 September lalu.

“Ia ditubuh untuk bertindak segera bagi mengatasi masalah pencemaran Sungai Kereh, Tasek Gelugor.

“Pasukan ini dianggotai 10 agensi persekutuan, negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Pada Februari lalu, media melaporkan, analisa dilakukan ke atas kualiti air Sungai Kereh itu mendedahkan punca pencemaran sungai berkenaan disebabkan najis babi yang dilepaskan dari Kampung Selamat.

Keadaan sungai itu menghantui penduduk sekitar sejak 40 tahun lalu, yang mendakwa terpaksa tinggal dalam suasana busuk setiap hari akibat aktiviti penternakan babi.

Serentak itu, Tuan Ibrahim mempengerusikan mesyuarat pembentangan laporan akhir Pasukan Petugas Pencemaran Sungai Kereh daripada Pengoperasian Ladang Penternakan Babi di Kampung Selamat, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang semalam.

Menurut beliau, pasukan itu akan membuat beberapa tindakan utama berkaitan perundangan, pelesenan dan penguatkuasaan, pemantauan, pengukuran dan penyelenggaraan serta komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam.

“Insya-Allah, saya optimis beberapa tindakan segera akan diambil menerusi pelbagai agensi di beberapa peringkat,” katanya. – MalaysiaGazette