Kesan lebam pada seorang bayi lelaki dipercayai mangsa dera ibu kandungnya.

KEJAM! Tidak berperikemanusiaan! Zalim!
Ini adalah antara komen-komen yang dilontarkan oleh warga netizen di media sosial apabila setiap kali tersebarnya berita berkaitan penderaan kanak-kanak di dada-dada akhbar. Penderaan kanak-kanak bukanlah suatu fenomena yang baru. Jika pada awal tahun 2021, kita telah dikejutkan dengan kes kematian adik Zubaidi Amir Qusyairi.

Sememangnya kematian Adik  Amir meninggalkan  kesan yang mendalam terhadap rakyat Malaysia. Mana tidaknya, seorang anak kecil yang ‘ditatang bagai minyak yang penuh’ oleh keluarga angkatnya menemui ajal setelah tinggal bersama ibu kandung dan bapa tirinya selama tiga bulan. Pada 19 Februari lalu, kita sekali lagi digemparkan dengan berita kematian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut dipercayai menjadi mangsa dera kepada ibu kandung bersama teman lelakinya.

Terkini kes suami membuat laporan terhadap isteri yang disyaki mendera anak mereka.
Penderaan kanak-kanak adalah realiti yang menyedihkan dan kini ia menjadi masalah global yang besar. Ia memberi impak serius terhadap kesihatan mental dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak, kesejahteraan dan perkembangan sepanjang kehidupan mereka. Namun, sekiranya ia tidak dikawal, ia boleh menjadi semakin parah sehingga boleh membawa kepada kematian.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ketika sidang parlimen Dewan Rakyat pada Disember lalu, sebanyak 3,875 kes penderaan, penganiayaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak direkodkan di negara ini sehingga September 2020. Jumlah ini melibatkan empat jenis kategori penderaan iaitu fizikal, seksual, emosi dan pengabaian. Walaupun secara keseluruhannya, jumlah kes penderaan dilihat menunjukkan trend penurunan berbanding tahun sebelumnya, namun jika dilihat secara terperinci bagi setiap kategori penderaan, terdapat peningkatan kes dalam penderaan fizikal dan emosi berbanding tahun sebelumnya misalnya bagi kes penderaan emosi sebanyak 124 kes dicatatkan pada tahun 2018, diikuti 113 kes pada tahun 2019 dan meningkat kepada 131 kes sehingga September 2020.

Tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendapati bahawa punca penderaan ialah disebabkan oleh
faktor keluarga mengalami masalah kewangan, ibu bapa terlibat kes dadah dan mengalami masalah mental. Jika ditelusuri faktor-faktor yang menyebabkan kes penderaan ini bertambah parah adalah disebabkan oleh penularan wabak COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Umum mengetahui, pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara ini telah memberi pelbagai implikasi dalam kehidupan seharian. Ianya telah mengubah cara kebanyakan individu bekerja, beriadah, belajar, membeli-belah dan banyak lagi aktiviti kehidupan seharian. Selain itu, pelaksanaan PKP juga telah menyebabkan berlakunya pengasingan sosial (sosial isolation), masalah kewangan disebabkan oleh hilang punca pendapatan, keperluan untuk bekerja dari rumah dan lain-lain lagi.

Perubahan yang berlaku ini menyebabkan ramai individu mengalami masalah kesihatan fizikal dan mental seperti kemurungan, kegelisahan, tindak balas panik, insomnia, sistem imun yang semakin rendah dan gejala tekanan selepas trauma. Sekiranya, permasalahan sebegini tidak dapat diatasi, ianya akan membawa kepada pelbagai implikasi negatif lain seperti masalah penderaan kanak-kanak yang kian menjadi nanah dalam masyarakat pada masakini. Sepertimana yang kita semua sedia maklum, wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP ini bukanlah sesuatu yang baru kerana setiap individu telah melaluinya sejak penghujung tahun 2019 lagi. Oleh itu, ia seharusnya menjadi titik tolak kepada perancangan dan pengendalian masalah yang lebih baik dalam menghadapinya. Ibu bapa terutamanya perlu melaksanakan kawalan emosi atau regulasi emosi yang lebih baik agar emosi yang berlebihan dan buruk dapat disalurkan dengan cara yang betul. Kawalan emosi yang baik dapat membantu individu mencapai tahap kecerdasan emosi yang seterusnya dapat membantu individu mengendali emosi mereka semasa dalam keadaan yang tertekan.

Pengaruh emosi amat penting dalam mewarnai kehidupan seseorang. Lazimnya emosi adalah tindakbalas yang wujud dalam diri manusia yang dikenali sebagai perasaan. Misalnya rasa takut, sedih, marah, suka, benci, sayang dan lain-lain. Istilah regulasi emosi pula pada asasnya merujuk kepada proses individu dalam mengubah lintasan (trajectory) satu atau lebih komponen emosi yang terhasil. Ianya berkait rapat dengan darjah kawalan, pengaruh, intensiti, maklum balas dan ekspresi komponen emosi tersebut. Manakala kecerdasan emosi pula merujuk kepada kebolehan untuk merasa, memahami dan mengaplikasi komponen disebalik emosi dalam kehidupan manusia sehari-hari. Kecerdasan emosi juga adalah komponen yang mempunyai pelbagai
implikasi terhadap aktiviti manusia seperti kepimpinan, perkembangan profesional, kesihatan mental, kehidupan berkeluarga dan perkahwinan. Justeru, amatlah penting bagi setiap individu terutamanya bagi mereka yang bergelar ibu bapa mencapai tahap kecerdasan emosi yang optimum agar anak-anak tidak menjadi tempat untuk mereka melemparkan emosi yang berpunca dari nafsu ammarah itu. Hal ini kerana, anak-anak adalah amanah untuk dididik dengan baik.

Jika aspek kebajikan mereka telah dicalari dengan emosi buruk ibu bapa, lantas bagaimana modal insan yang baik dapat kita lahirkan? Dalam mencapai tahap kecerdasan emosi yang optimum, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam mengawal emosi. Antaranya adalah dengan mengenali emosi diri sendiri. Individu digalakkan untuk sentiasa bertanyakan kepada diri sendiri tentang apa yang
dirasai dalam apa jua keadaan yang berlaku sama ada baik atau buruk. Dengan mengenali emosi diri sendiri, individu boleh menjangkakan tindakan yang akan diambil olehnya dalam berhadapan dengan sesuatu keadaan. Selain itu juga, individu boleh meminta pandangan dari suami, isteri atau ahli keluarga terdekat.

Ibu bapa juga boleh menyalurkan emosi negatif yang sedang dialami dengan melibatkan diri dalam aktiviti fizikal seperti senaman, bersukan, aktiviti mengemas rumah dan aktiviti seharian lain yang melibatkan elemen pergerakan. Kajian mendapati apabila individu melakukan aktiviti fizikal, secara biologinya ia dapat membantu badan merembeskan hormon-hormon yang membangkit kegembiraan seperti endorphin dan serotonin. Hal ini membuatkan individu yang bersenam mempunyai kadar kemurungan, emosi negatif, dan kerisauan yang lebih rendah. Selain itu juga, ibu bapa dinasihatkan agar menjauhkan diri dari segala aktiviti penyalahgunaan sama ada melibatkan alkohol ataupun dadah. Sesungguhnya, aktiviti sebegini akan membuatkan ramai individu hilang pertimbangan dalam aspek kawalan emosi yang seterusnya membawa kepada kancah keburukan.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu kreatif dalam aspek kawalan emosi untuk menguasai pelbagai teknik kawalan emosi dengan lebih cepat dan efektif. Malah, ibu bapa digalakkan untuk mencatat segala situasi yang berlaku dan perasaan ketika sesuatu situasi berlaku dalam sebuah jurnal atau buku harian sekali gus dengan cara ini, emo si diri sendiri, penyebab dan cara menangani emosi tersebut dapat dikenalpasti. Namun, sekiranya individu masih lagi bermasalah dalam mengawal emosi sendiri, dinasihatkan agar mereka tidak malu untuk berjumpa dengan kaunselor atau terapis dalam aspek kawalan emosi agar dapat dibimbing dengan cara yang lebih berkesan. Ibu bapa tidak seharusnya mengambil remeh dan memandang enteng tentangpenguasaan kemahiran kawalan emosi ini agar kes penderaan kanak-kanak dapat dikawal dan   seterusnya tidak berlaku lagi.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz, Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).