Pasangan remaja kereta Perodua Alza yang bertindak melalanggar dan melarikan diri dari pemeriksaan polis di Restoran Makanan Segera McDonalds Bandar Baru Bangi semalam akan dituduh di Mahkamah Majistret bandar Baru Bangi pagi Jumaat ini.

BANGI – Pasangan remaja yang ditahan dalam siasatan kes video viral Perodua Alza langgar lari anggota polis semasa pemeriksaan di tempat parkir McDonalds Bandar Baru Bangi semalam akan dituduh di mahkamah esok.

Kedua-dua suspek berusia 19 dan 20 tahun itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi pada Jumaat 9 pagi.

Sumber berkata, sejurus selepas insiden itu pasangan remaja itu ditahan polis dan direman tiga hari bermula semalam untuk membantu siasatan polis berikutan insiden melanggar penjawat awam semasa menjalankan tugas.

“Kertas siasatan sudah siap dan polis sudah dapat kebenaran untuk menuduh kedua-dua suspek muda itu di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi 9 pagi esok,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan seorang anggota polis yang sedang membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta cedera apabila pemandunya cuba melarikan diri dengan melanggar motosikal dan anggota polis terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 10.30 malam semalam apabila sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Bandar Baru Bangi yang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

Tambah beliau, kereta tersebut diparkir di kawasan letak kereta di restoran makanan segera, McDolands, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi dengan enjinnya dihidupkan.

“Anggota terlibat menghampiri kereta berkenaan untuk pemeriksaan dan mendapati seorang lelaki dan seorang perempuan berada di dalam kereta itu,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zaid berkata, anggota polis terlibat mengalami kecederaan ringan dan motorsikal yang ditunggang mengalami kerosakan.

Walaupun suspek berjaya melarikan diri namun anggota polis yang terlibat telah dapat mengecam nombor pendaftaran kereta suspek, ujarnya .

Bertindak daripada maklumat tersebut,  anggota polis Ibu Pejabar Daerah (IPD) Kajang berjaya menahan pasangan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186,307 dan 332 Kanun Keseksaan, ujarnya.-MalaysiaGazette