BUKIT MERTAJAM – Taktik sindiket dadah memilih kilang kertas di Jalan Bukit Teh, Machang Bubuk di sini sebagai makmal memproses syabu akhirnya terbongkar selepas digempur polis Isnin lalu.

Kegiatan haram yang dilakukan empat lelaki berusia lingkungan 38 hingga 49 tahun sejak Ogos lalu terbongkar selepas polis menahan mereka dalam beberapa serbuan di sekitar Bukit Mertajam dan sebuah hotel di Lebuh Pantai, George Town.

Antara peralatan yang digunakan sindiket bagi menghasilkan dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, tangkapan dalang utama berusia 49 tahun pada jam 7.30 malam membawa kepada penemuan makmal serta syabu bernilai RM2.9 juta.

Katanya, ketika menyerbu kilang berkenaan, pihak polis menahan dua lagi lelaki dipercayai ahli sindiket yang terlibat dalam kegiatan memproses syabu.

“Susulan itu pihak polis turut menahan seorang lelaki berusia 38 tahun di George Town.

Shafee (tengah) ketika ditemui di sidang akhbar berhubung kejayaan rampasan syabu bernilai RM2.9 juta di IPD SPT hari ini.

“Dalam serbuan di kilang itu, kita merampas cecair disyaki dadah jenis syabu sebanyak 37 liter, dadah jenis syabu seberat 66 kilogram, 35 tong berisi cecair kimia serta peralatan untuk memproses syabu.

Antara bahan disyaki syabu yang dirampas polis.

“Turut disita dalam serbuan tersebut seutas rantai leher, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire, sebuah kereta Toyota Camry dan Vios serta wang tunai RM1,150,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah hari ini.

Menurut Shafee, hasil siasatan lanjut mendapati suspek utama menggajikan seorang pakar kimia berusia 38 tahun untuk memproses dan menghasilkan syabu.

Turut dirampas kertas catitan berisi fomula menghasilkan syabu.

Makmal syabu pertama dibongkarkan di Pulau Pinang bagi tahun ini.

“Mereka ini aktif sejak Ogos tahun lalu dan kita percaya syabu yang dihasilkan ini untuk pasaran tempatan.

“Proses menghasilkan syabu ini memakan masa sebulan dan setiap kali proses sindiket ini mampu menghasilkan 50 kilogram syabu,” ujar beliau.

Tambah Shafee, hasil semakan ke atas empat lelaki itu mendapati tiga daripadanya positif dadah.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek berusia 38, 42 serta 49 tahun itu mempunyai pelbagai rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 15 Mac ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette