M. Kula Segaran Members of Parliament buying MPs MP support Perikatan Nasional PN MACC logo Datuk taxi company owner bribery UMNO legal advisor Paul Geoffrey Stadlen MACC 1MDB scandal Mohd Hafarizam Harun Malaysian Anti-Corruption Commission
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Gambar hiasan.

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci berkaitan isu pencerobohan tanah rizab di empangan di negeri itu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ia susulan terdapat struktur bangunan kekal dibina sebagai rumah penginapan, rumah pekerja asing, rumah pam air, chalet, warung selain pelbagai aktiviti pertanian dan tanaman kontan diusahakan di atas tanah rizab di Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah dan Empangan Jus di Jasin.

“Saya pun tidak tahu bagaimana struktur kekal dapat didirikan di atas tanah rizab di empangan terlibat sedangkan ia perlu mendapat kebenaran merancang, pelan pembangunan yang perlu diluluskan pihak berkuasa tempatan dan bagaimana mereka mendapat bekalan elektrik perlu disiasat.

“Untuk itu, kerajaan negeri akan menghantar notis terakhir kepada penceroboh terlibat untuk mengosongkan tapak dan keluar dari tanah rizab yang diceroboh sebelum 1 April depan dan Notis 425 Kanun Tanah Negara akan dikuatkuasakan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Jelasnya sehingga kini dianggarkan terdapat kira-kira 25 peratus daripada 80 penceroboh yang dikesan di dua empangan berkenaan sebelum ini, masih enggan mengosongkan tapak yang diceroboh.

Kata beliau usaha mengusir penceroboh berkenaan mula dilaksanakan sejak 2014 dan seluas 198.1 hektar tanah di Empangan Durian Tunggal dan 152 hektar tanah di Empangan Jus dikesan telah diceroh dengan pelbagai aktiviti pertanian antaranya kelapa sawit, getah, sayur-sayuran, pisang, getah dan limau.

Sementara itu, Sulaiman menjelaskan Badan Kawal Selia Air Melaka dan Jabatan Perhutanan akan menanam pokok hutan di sekitar empangan melibatkan keluasan kira-kira 49.7 hektar dalam masa terdekat setelah selesai kerja-kerja mematikan pokok kelapa sawit, pembersihan aktiviti pertanian dan perobohan struktur bangunan dilakukan.

“Kerajaan negeri juga telah menjalankan kerja-kerja pemasangan pagar secara berfasa mulai tahun 2016 di sekitar Empangan Durian Tunggal sepanjang 9 kilometer (km) dan sepanjang 5km di Empangan Jus, melibatkan kos berjumlah RM3.5 juta bagi mengatasi masalah pencerobohan dan isu pemancing,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri Melaka akan turut membantah pelaksanaan Projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Linggi sekiranya projek itu tidak mematuhi Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Melaka sehaluan dengan Negeri Sembilan untuk membantah pelaksanaan KLIP kerana kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana projek yang memberi kesan buruk kepada persekitaran seperti hakisan atau menjejaskan pendapatan nelayan,” katanya.

Semalam media melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan kerajaan negeri itu akan membantah pelaksanaan Projek KLIP sekiranya ia tidak mematuhi EIA.

— BERNAMA