Arjunaidi Mohamed diangkat sebagai Ketua Polis Selangor manakala Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah berkuatkuasa 12 April ini.

KUALA LUMPUR – Bukit Aman hari ini mengumumkan rombakan membabitkan pertukaran 71 pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berkuatkuasa 12 April ini.

Menurut Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Superintendan Komunikasi Korporat Skandaguru Anandan dalam satu kenyataan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin dan Deputi Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed mendahului senarai pertukaran itu.

Saiful Azly ditukarkan ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti manakala Timbalan Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed yang memangku jawatan Ketua Polis Selangor dilantik sebagai Ketua Polis Selangor dengan memangku pangkat Komisioner Polis.

Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur diisi Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Penjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Penjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim dengan memangku pangkat Komisioner Polis.

Manakala Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Datuk Sharul Lalli Masduki pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor memangku pangkat Deputi Komisioner menggantikan Arjunaidi.

Manakala kekosongan jawatan beliau akan diisi oleh Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah dengan memangku pangkat SAC.

Dalam pada itu jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor diisi Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dengan memangku pangkat SAC.

Penyandang jawatan itu, SAC Datuk Fadzil Ahmat pula bertukar ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendataan dan Analisa, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Dalam pada itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Sapii Ahmad akan menyandang jawatan Ketua Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Kekosongan Sapii Ahmad akan diisi Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Aduan) Bahagian Integriti, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, SAC Mohd Hanafiah Arshad.

Jawatan yang ditinggalkan Mohd Hanafiah pula diisi Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, SAC Suresh Kumar G. Suppiah sementara tempat Suresh Kumar diisi SAC Datuk Pahlawan Azizi Mat Aris yang kini merupakan Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus dan Kepolisan Am) Bahagian Integriti JIPS Bukit Aman.

Sementara itu Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat yang mengetuai Jabatan Siasatan Narkotik Selangor akan menjawat jawatan Ketua penolong Pengarah D14, Siasatan Jenayah Terancang, JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Deputi Superintendan Rosmizan Abdul Wahab dari Bahagian Latihan Bukit Aman dilantik Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perlis.

Superintendan Roselina Daud bertukar sebagai Penolong Pengarah D4 (Risikan dan Operasi) JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Beliau merupakan Pegawai Turus Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak.-MalaysiaGazette