Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan membatalkan13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tidak berjaya dalam usahanya memohon membatalkan sebanyak 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya hari ini.

Permohonan Abdul Azeez yang juga bekas Pengerusi Tabung Haji itu ditolak ditolak Mahkamah Tinggi pagi ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan demikian kerana semua pertuduhan terhadap suspek telah mengikut lunas undang-undang dan tidak boleh dipertikaikan.

Kata Muhammad Jamil, tertuduh juga tidak dapat membuktikan pertuduhan terhadap dirinya berniat jahat atau malafide.

Malah beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan dengan baik.

“Pada pendapat saya, kes ini tidak wajar sama sekali untuk mahkamah ini menggunakan kuasa untuk bebaskan tuduhan terhadap pemohon.

“Pemohon juga tidak berjaya buktikan tuduhan terhadapnya tidak tepat dan salah guna proses mahkamah. Permohonan ini ditolak,” katanya.

Peguam mewakili Abdul Azeez, Ameer Hamzah Arshad kemudian bangkit memberitahu pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Pasukan pendakwaan kes berkenaan diketuai Timbalan Pendakwaraya, Aslinda Ahad.

Perbicaraan terhadap Abdul Azeez akan bersambung pada Isnin ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi.

Abang tertuduh, Abdul Latif Abdul Rahim dijangka akan memberi keterangan ketika perbicaraan yang sama.

Abdul Azeez ketika ini sedang berhadapan dengan 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pasni makin ramai ler ahli UMNO ajak keluar dr PN. Jd member pun xleh nak kawtim kawtim. Tak gitu?

Comments are closed.