Cermin kereta dipecah oleh mereka yang terlibat dalam pergaduhan di flat Impian Baiduri, Sungai Way, Petaling Jaya.

KUALA LUMPUR – Polis menahan tujuh individu kerana terlibat dalam dua pergaduhan di kawasan flat Impian Baiduri, Sungai Way, Petaling Jaya lewat malam semalam dan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faizal berkata, siasatan awal polis mendapati 11 individu berumur antara 16 hingga 30 tahun yang terlibat dalam pergaduhan itu disyaki berada di bawah pengaruh alkohol.

Berikutan itu, katanya, polis sedang mengesan empat lagi suspek yang terlibat dalam insiden tersebut.

Tambah beliau, dalam kejadian pertama pada jam 11 malam semalam yang berpunca daripada salah faham di tempat pakir flat tersebut seorang lelaki berumur 34 tahun mengalami lebam di bahagian badan dan dia kini ditahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Selain itu, katanya, cermin dua kereta telah dipecahkan dan motosikal ditumbangkan.

Nik Ezanee berkata, dalam insiden kedua yang berlaku pada jam 1.30 pagi hari ini, sebilah parang digunakan menyebabkan seorang lelaki berumur 20 tahun cedera di bahagian betis kiri dan dahi.

Jelasnya, mangsa kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Ujar Nik Ezanee, tujuh suspek yang ditahan itu akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya esok untuk permohonan reman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sangaran A/L Rajaram di talian 012-5390380 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662176. – MalaysiaGazette