Gerakan Media Merdeka
KUALA LUMPUR – Gerakan Media Merdeka (Geramm) menyuarakan kebimbangan terhadap langkah kerajaan mewartakan ordinan bagi mengekang apa yang disifatkan sebagai “berita tidak benar” berkenaan wabak Covid-19.
“Kami bimbang dengan peraturan ini kerana ia tidak digubal oleh ahli-ahli Parlimen yang dipilih secara sah oleh rakyat Malaysia.
“Pada permukaannya mungkin kelihatan indah dan boleh dipersetujui bersama, namun tanpa takrif “berita palsu” yang jelas, kami bimbang ia boleh disalahgunakan dan memberi kesan negatif terhadap kebebasan media,” kata gerakan itu dalam hantaran di laman Facebook.
Geramm juga melihat penggubalan undang-undang sebagai agak kontroversi, mengambil kira pertikaian tentang keperluan pengisytiharan darurat dalam situasi ketidakpastian status majoriti pemerintah.
Sehubungan dengan itu, Geramm menuntut segala peraturan seperti yang telah diwartakan tidak digunakan untuk menindas atau dijadikan senjata mendiamkan, menekan atau membuli pihak tertentu yang tidak sehaluan.
“Kedaaan ini juga menyukarkan media untuk melaksanakan tugas sebagai penyemak-imbang sekiranya peraturan ini disalahgunakan untuk melindungi perbuatan pihak-pihak tertentu,” katanya lagi.
Geram menurut kenyataan itu lagi kekal dengan pendirian menentang penggubalan Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018 melalui kempen melawan berita palsu dengan fakta, bukan akta.
“Antara lain kami secara konsisten menyokong apa-apa inisiatif semak fakta (fact checking), terutama di masa pandemik yang menyaksikan banyak kekeliruan tercetus akibat perkongsian fakta tidak benar.” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sekurang2nya Akta Anti Berita Tidak Benar digubal dan diluluskan parlimen. Yg kali ini dibuat tanpa parlimen…diktator!

Comments are closed.