Abdul Hamid Bador

IPOH – Seorang pegawai polis disahkan bersekongkol dalam melepaskan suspek Macau Scam di Pulau Pinang.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador selepas siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mendapati wujud kesalahan dalam kes tersebut.

MalaysiaGazette difahamkan pegawai tersebut berpangkat Inspektor dan berkhidmat di bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Pegawai berkenaan difahamkan melepaskan beberapa ahli sindiket Macau Scam di negeri tersebut.

“Kita akan ambil tindakan drastik berhubung kes ini dan ia terang-terang satu pengkhianatan kepada pasukan.

“Sebelum ini lagi saya sudah sampaikan amanat kepada pegawai di bawah agar hentikan kegiatan sebegini kerana ia merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan memang kita akan dakwa mereka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus Lesen Private Pilot’s di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai sembilan pegawai kanan berpangkat Asisten Superintendan dan Inspektor menerima pemakaian sayap juruterbang.

Menurut Abdul Hamid, beliau tidak akan cendeung kepada tindakan tatatertib kerana hukumannya tidak setimpal.

“Tatatertib ini bawah bidang kuasa saya dan hukumannya tidak setimpal kerana paling tinggi pun lucut hak emolumen tujuh hari.

“Kesalahan ini berat jadi saya biarkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SSP) putuskan tindakan lanjut untuk buang kerja, turun pangkat itu kuasa mereka,” ujar Abdu Hamid. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.