CSM menyumbangkan 10 unit komputer riba Dell Latitude 3490 kepada FTMK baru-baru ini yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) CSM, Ts. Dr. Zahri Yunos (3 dari kiri) kepada Dekan FTMK UTeM, Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad.

KUALA LUMPUR – Kolaborasi penyelidikan strategik antara Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Cybersecurity Malaysia (CSM) terus menjana hasil berimpak global.

Dekannya, Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad berkata, FTMK UTeM dan CSM merupakan rakan kolaborasi sejak tahun 2014 lagi dan telah menghasilkan banyak perkara berimpak dalam bidang penyelidikan.

Jelasnya, antara kejayaan bersama yang memberikan impak bertaraf global dalam bidang penyelidikan cybersecurity ini antaranya menerusi projek perundingan YAKSHA yang melibatkan negara Eropah.

Ketua Pegawai Operasi (COO) CSM, Ts. Dr. Zahri Yunos sedang menyampaikan ucapan sempena majlis penyerahan komputer riba kepada UTeM baru-baru ini.

“Seterusnya projek perundingan programme systematic review on IoT, cloud computing dan blockchain forensic CSM, global-ACE Scheme dan juga pensijilan OIC.

“Di samping itu selari dengan objektif yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini merangkumi pembangunan sumber manusia dan program peningkatan karier serta kolaborasi penyelidikan dan penulisan dalam bidang cybersecurity,” katanya dalam kenyataan.

Terbaharu pihak CSM turut menyumbang 10 unit komputer riba Dell Latitude 3490 kepada FTMK baru-baru ini yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) CSM, Ts. Dr. Zahri Yunos. – MalaysiaGazette