S Kumaahran (kanan).

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Melaka United FC, S. Kumaahran semakin mencuri tumpuan selepas meledak dua gol dalam dua perlawanan dalam saingan Liga Super 2021.

Dia yang beraksi di bek kanan ketika bersama Pahang pada musim lalu mengakui kini berasa lebih yakin untuk membantu Melaka United.

Pemain itu pernah bergelut dengan kecederaan ACL pada Sukan Sea 2017.

“Musim lepas peluang untuk saya menjaringkan gol memang agak susah dan musim ini selepas berjaya menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan, saya rasa lebih yakin untuk mendapatkan semula prestasi terbaik bagi musim 2021.

“Saya sudah lama tidak meledak gol dan mula-mula memang tidak sangka apabila berjaya melakukannya bersama pasukan ini kerana saya tahu selepas bergelut dengan kecederaan ACL, semuanya kelihatan begitu sukar untuk kembali bangkit.

“Apabila saya bersama pasukan JDT II (Johor Darul Ta’zim II) pada 2018, saya fokus kepada proses pemulihan di sana dan ternyata semuanya berjalan dengan lancar sebelum akhirnya saya mendapat semula kekuatan untuk mula bermain,” katanya.

Melaka United belum memenangi perlawanan apabila cuma mampu seri dalam dua perlawanan setakat ini.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan ini semestinya akan hadir dengan perancangan lebih teratur untuk meraih tiga mata pertama apabila bakal menerima kunjungan Sri Pahang FC pada malam esok di Stadium Hang Jebat.

Hanya satu aksi Liga Super 2021 akan berlangsung pada malam ini membabitkan Penang FC dan Kedah Darul Aman FC manakala dua lagi perlawanan pada malam esok turut menyaksikan UiTM FC menerima kunjungan JDT selain aksi tumpuan pertembungan derby Lembah Klang antara Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC. – MalaysiaGazette