Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (dua kiri) menunjukkan Ordinan Darurat pada sidang media di Kompleks KKMM, Putrajaya. Foto HAFIZ SOHAIMI, 12 MAC 2021.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (dua kiri) menunjukkan Ordinan Darurat pada sidang media di Kompleks KKMM, Putrajaya. Foto HAFIZ SOHAIMI, 12 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 hanya memberi tumpuan kepada berita tidak benar berkaitan Covid-19 dan Proklamasi Darurat.

Itu jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengenai langkah kerajaan Perikatan Nasional mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 selepas kali pertama diwartakan pada Januari lalu.

“Ordinan ini hanya untuk waktu darurat tapi ada tempoh enam bulan selepas darurat ditarik balik.

“Ia tidak akan bersifat kekal, keperluannya adalah untuk mempercepatkan proses. KKMM ada kekangan dari segi undang-undang untuk laksanakan beberapa perkara, sebenarnya kami sedang meminda Akta SKMM belum sempat dibentangkan di Parlimen lagi,” katanya dalam sidang media Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) di kementeriannya, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut Saifuddin, ordinan ini diwartakan bagi mengurangkan penularan berita tidak benar mengenai Covid-19 dan Proklamasi Darurat.

Ia selaras dengan Proklamasi Darurat menurut Perkara 150 (1) Perlembangaan Persekutuan yang diwartakan pada 11 Januari lalu sehingga 1 Ogos depan.

Dalam pada itu, Takiyuddin memberi jaminan bahawa ordinan darurat yang diwartakan itu tidak akan dipanjangkan dan bakal tamat selepas 1 Ogos depan.

“Ordinan ini namanya pun darurat, ia berkuatkuasa selama mana darurat itu berkuatkuasa. Kalau darurat ini tamat 1 Ogos maknanya selepas itu kita tidak guna lagi.

“Namun demikian Perkara 7 menyatakan bahawa jika sekiranya ordinan itu tidak dibatalkan oleh Parlimen lebih awal, maka tempoh hayatnya adalah enam bulan daripada tarikh berakhirnya darurat,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin menolak dakwaan bahawa pengisytiharan darurat yang dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerana sudah hilang majoriti.

“Ia satu kesalahan (berita kerajaan hilang majoriti), bagi saya ia satu kesalahan,” katanya lagi.

Untuk rekod, sebanyak 287 kertas siasatan telah dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung berita tidak benar sehingga hari ini.

Daripada jumlah ini, sebanyak 113 masih dalam siasatan, manakala 51 kes telah didakwa di mahkamah, 30 didapati bersalah, 20 dalam proses perbicaraan dan 12 diberikan notis amaran.

Dalam masa sama, sebanyak 428 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19. – MalaysiaGazette