Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) melahirkan rasa prihatin terhadap tindakan kerajaan yang mewartakan Ordinan Darurat khusus untuk memerangi aktiviti penghasilan dan penyebaran berita tidak benar.

Dalam kenyataan di sini, NUJM tidak bersetuju dengan langkah ke belakang yang diambil itu, seolah-olah kerajaan cuba mengekang kebebasan bersuara rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau pelbagai latar belakang.

NUJM berpendapat, kerajaan sepatutnya menubuhkan Majlis Media untuk menangani sebarang masalah yang berkaitan dengan pengamal media, khususnya wartawan yang berada di barisan hadapan.

Setiausaha Agungnya, Chin Sung Chew berkata, NUJM berpendapat Majlis Media boleh dipertanggungjawabkan untuk meneliti berita tidak benar yang dilakukan berbanding tindakan kerajaan yang terpaksa mewartakan undang-undang baharu untuk menangani perkara itu.

Menurutnya, tindakan kerajaan ini hanya mencetuskan kontroversi memandangkan ia sepatutnya perlu mendapat kelulusan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya menunggu sidang Parlimen sebelum peraturan baharu diluluskan, yang mana ia membawa kesan serius kepada rakyat secara keseluruhan.

”Tindakan itu mungkin kelihatan dipersetujui. Namun, setakat ini tidak ada definisi yang jelas tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘berita tidak benar’,” kata beliau.

Chin menambah, Malaysia telah membatalkan Undang-Undang Anti Palsu pada tahun 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan dan ia disambut baik oleh pengamal media tempatan pada masa itu.

Malangnya, setelah Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kuasa, kebebasan media semakin tersepit dan ditekan.

“Oleh itu, NUJM bimbang terhadap niat kerajaan dan kemungkinan penyalahgunaan mungkin berlaku,” ujarnya sambil menambah sesiapa yang tidak bersetuju dengan Covid-19 juga boleh diambil tindakan dengan sebarang bentuk penyebaran berita yang berkaitan.

Perkara ini juga boleh dianggap sebagai ‘berita tidak benar’ pada sebarang artikel yang tidak dipersetujui oleh kerajaan kecuali jika badan bebas ditubuhkan untuk meneliti jenayah berita palsu yang dilakukan. – MalaysiaGazette