Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendengar ucapan perasmian secara maya oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Penyertaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ke dalam Perikatan Nasional (PN) diyakini mampu memperkukuhkan parti pemerintah itu sesuai dengan komposisi masyarakat majmuk di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemasukan parti bukan etnik itu disifatkan tepat pada masanya ketika PN bergelut memerangi pandemik Covid-19.

“Sebagai Pengerusi PN, saya amat mengalu-alukan penyertaan Gerakan sebagai parti komponen terbaharu PN untuk bersama-sama parti-parti anggota PN lain iaitu Bersatu, Pas, STAR dan SAPP mengemudi negara ini ke arah kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran bersama.

“Kerajaan PN sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kepelbagaian dan keterangkuman masyarakat Malaysia.

“Kemasukan Gerakan adalah tepat pada masanya dalam memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan parti politik nasional menjadi lambang kepelbagaian masyarakat majmuk di negara kita,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Gerakan secara maya di Menara PGRM, hari ini.

Hadir sama Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong.

Pada 11 Februari lalu, Gerakan secara rasmi menganggotai PN sebagai parti komponen.

Gerakan juga telah menerima watikah keanggotaan PN daripada Muhyiddin pada tarikh yang sama.

Keputusan menyertai PN itu dipersetujui oleh ahli jawatankuasa pusat Gerakan dalam mesyuarat pada Mei tahun lalu.

Dalam pada itu, Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan pada hari ini merupakan detik paling bermakna dan bersejarah buat Gerakan kerana julung kali ia dilakukan sebagai parti komponen PN.

“Tahniah dan selamat datang saya ucapkan kepada semua perwakilan parti Gerakan,” katanya.

Menurutnya, keputusan Gerakan menyertai PN itu mampu menjadi rakan komponen parti yang signifikan kepada gabungan parti yang membentuk kerajaan pada 1 Mac tahun lalu.

“Saya percaya, dengan sejarah dan pengalaman politik yang panjang sejak penubuhannya pada tahun 1968, Gerakan mampu menjadi rakan komponen yang signifikan kepada PN,” katanya.

Katanya, PN mempunyai peranan penting dalam mewujudkan kestabilan politik, mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum yang bersatu-padu dalam sebuah negara majmuk.

“PN menjunjung prinsip tadbir urus yang baik dalam pentadbiran Kerajaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Inilah prinsip-prinsip asas yang menunjangi pembentukan PN,” katanya.

Muhyiddin turut mengajak semua pihak bersama-sama merapatkan saf dan memperkukuhkan gerak kerja sehingga ke peringkat akar umbi bagi merangka formula terbaik demi kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat jelata.

“Kita harus terus bersatu di semua peringkat untuk berjaya sebagai satu. Apabila kita bersatu hati dan mencapai kestabilan politik yang utuh, segala inisiatif untuk memulih dan membangunkan ekonomi negara akan lebih mudah kita laksanakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Baguslah..Gerakan pun nak cari nyawa nak hidup kaann..parti yg ditolak oleh semua rakyat Malaysia…lepas ni PN telingkup kat mana plak parasit ni nak bergayut..haaa..Baguslah sesiapa yg tak join PN..semua dia sebat..perogol bersiri, katak, manusia rasis mcm Xavier tu yg nak halau Dr. Zakir Naik…demi kuasa, semua boleh..yg pelik PAS blh senyap jaaa…PAS dh lupa kah siapa si Xavier ni masa kes Adib? Dah lupa kaa Xavier ni paling lantang suruh halau Dr. Zakir Naik??? demi kuasa kaaa…semua halal

Comments are closed.