Had masa hanya satu jam sahaja dibenarkan kepada pelanggan untuk makan di restoran di Pahang.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Had masa hanya satu jam sahaja dibenarkan kepada pelanggan untuk makan di restoran di Pahang.

Itu antara penguatkuasaan langkah tambahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula di negeri itu.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara Pahang, Zairasyahli Syah Zulkifli berkata, keputusan itu ditetapkan oleh kerajaan negeri bagi menangani isu pelanggan yang gemar melepak di kedai makan selain mengelak kesesakan di dalam premis.

Beliau berkata, tindakan tegas mengenakan kompaun sehingga RM10,000 boleh dilaksanakan kepada pengusaha kedai makan dan pelanggan yang ingkar mematuhi peraturan tambahan yang ditetapkan.

Justeru, katanya, kerajaan negeri mengingatkan kepada kesemua pengusaha premis makanan agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan langkah tambahan itu dipatuhi pada setiap masa.

“Kita berpendapat antara isu di kedai makan ialah pelanggan makan terlalu lama dan lepak di kedai makan menyebabkan pelanggan lain terpaksa beratur di luar kedai.

“Apabila pelanggan beratur di luar kedai, pematuhan SOP sukar dilaksanakan oleh pelanggan yang beratur kerana sudah mula tidak ada penjarakan dan berlaku kesesakan apabila berkumpul di luar kedai,” kata Zairasyah ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Dalam pada itu, ketika membuat tinjauan di restoran sekitar Kuantan, rata-rata pelanggan memberi reaksi postif berkenaan peraturan baharu itu dan menganggap ia inisiatif bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Bagi Mohd Syafiq Mohd Sharin, 36, arahan yang dikeluarkan adalah wajar untuk kebaikan bagi menyekat orang ramai untuk tidak melepak lama di kedai makan.

“Perlaksaan sejam di kedai makan tidak menjadi masalah kerana kebiasaan berada dalam kedai makan kurang 45 minit. Arahan yang diberikan berguna dan boleh digunakan dalam susasa pandemik membendung peningkatkan jangkitan sebagai langkah beringat buat kita.

Manakala pemilik restoran, Nurhidayah Ismail, 33, pula berkata, pengusaha premis makanan juga bertanggungjawab memastikan semua prosedur operasi standard (SOP)  Covid-19  dipatuhi dan mengharapkan kerjasama daripada pelanggan.

“Bayangkan yang ada beratus beribu kedai makan, jika kita pengusaha tidak patuh arahan, keadaan semakin teruk nanti wujud pula kluster baharu.

“Saya setuju kompaun yang dikenakan, jangan ambil remeh dan jika kita patuh SOP tidaklah kita dikenakan kompaun.” – MalaysiaGazette