Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah South African B.1.351 Covid-19 variant
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,354 kes positif baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini adalah 323,763 kes dengan 16,279 kes aktif.

Daripada jumlah kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak kes membabitkan jangkitan tempatan iaitu 1,042 atau 77.8 peratus warga negara dan 298 atau 22.2 peratus warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 14 kes import dilaporkan hari ini membabitkan 13 rakyat tempatan dan seorang rakyat asing.

Jelas beliau, Selangor mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 577 kes atau 42.6 peratus dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 471 kes (81.6 peratus) daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 178 kes (13.1 peratus) dan Pulau Pinang sebanyak 154 kes atau 11.4 peratus.

“Sebanyak 64 kes atau 4.7 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (57 kes), masing-masing dua dalam Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Tembok Pengkalan Chepa dan Kluster Penjara Jalan Harapan serta satu kes dalam Kluster Tembok Taiping.

“Sebanyak 158 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 71 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kematian membabitkan Covid-19, iaitu dua di Kuala Lumpur dan satu masing-masing di Selangor dan Sarawak.

Beliau berkata, keempat-empat kematian itu membabitkan rakyat tempatan berusia antara 27 hingga 87 dan kesemuanya lelaki serta menghidap pelbagai penyakit kronik.

“Sejumlah 1,782 kes pulih daripada jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 306,274 kes atau 94.6 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan setakat ini,” katanya. – MalaysiaGazette