Majlis Keselamatan Negara bersetuju membenarkan baki keseluruhan perniagaan peruncitan beroperasi semula serta kebenaran makan di restoran bermula hari ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk satu meja terhad dua orang sahaja dengan penjarakan fizikal satu meter ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Q Bistro, Cheras, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Tujuan saman RM10,000 bukan untuk mendenda semua orang tanpa mengira keadaannya, oleh itu rayuan dan pengurangan pasti boleh dilakukan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, maklumat lanjut mengenai rayuan akan diumumkan agensi berkenaan.

Beliau berkata, isu saman juga dibawa kepada Jemaah Menteri yang bersetuju bahawa saman maksimum RM10,000 tidak harus dikenakan tanpa mengira keadaan pesalah.

“RM10,000 itu adalah maksimum, tetapi bukan semua pelanggaran harus dikenakan denda maksimum. Yang pasti, rayuan dibenarkan.

“Contohnya, mereka yang pakai gelang tetapi masih lepak sana sini dan mereka yang berdegil harus dikenakan denda yang keras.

” Tetapi untuk kes yang lebih ringan, denda yang ringan harus dikenakan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurutnya, hala tuju isu saman telah dibincangkan Kabinet, tetapi maklumat lanjut akan diteliti dan diumumkan agensi berkenaan. – MalaysiaGazette