Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Pasar Moden Sri Muda di Seksyen 25, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 14 MAC 2021.

SHAH ALAM – Rakyat negeri Selangor diminta menggunakan kuasa mengundi pada pilihan raya jika ingin menukar mandat kerajaan sedia ada.

Menteri Bersar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, wakil rakyat tidak sewajarnya menggunakan tipu helah semata-mata untuk berkuasa.

“Marilah kita rakyat negeri Selangor mengekalkan kerajaan ini. Kerajaan negeri Selangor bersungguh-sungguh akan cuba lakukan yang terbaik.

“Kalau tuan-tuan tidak setuju, tidak suka, gunakan kuasa bila sampai masanya, bukan dengan membuat tipu helah, gunakan segala apa yang ada dalam kekuasaan semata-mata hendak memenuhi kerakusan serta niat politik individu yang tidak membawa kebaikan dan kesejahteraan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pasar Sri Muda di Seksyen 25 Shah Alam hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan keluar parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Beliau turut mengumumkan akan menjadi Ahli Parlimen Bebas dan menyokong kerajaan PN.

Menurut Amirudin, pemerintahan kerajaan Selangor di bawah Pakatan Harapan perlu diteruskan kerana ia berjaya mewujudkan kestabilan.

Ketidakstabilan politik, ujarnya, akan terus wujud sekiranya tidak ada yang bertindak lompat parti pada pertengahan penggal pentadbiran kerajaan.

“Pertukaran kerajaan, perubahan kerajaan lompatan orang, tukar parti di tengah penggal merupakan satu kewujudan situasi tidak stabil kecualilah ada masalah yang tidak boleh dielakkan. Ini tidak tahu masalah apa tiba-tiba hilang. Tidak wujud.

“Sebab itu di Selangor bila orang tanya dengan saya perlu atau tidak sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), saya kata kalau boleh kita lakukan sebab kita risau dan bimbang sebab fokus kita di negeri Selangor jelas kita ingin teruskan apa yang kita ada laksanakan pelan rancangan,” katanya. – MalaysiaGazette