Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh

KUANTAN – Pemimpin boleh datang dan pergi dan apa yang kekal ialah prinsip perjuangan.

Pengerusi Perhubungan PKR Pahang, Fuziah Salleh berkata, perjuangan bukan ditegakkan oleh individu tetapi ia ditegakkan oleh prinsip kebenaran keadilan sejagat.

“Walaupun di Pahang (jika) tinggal saya seorang, kami terus menjunjung, saya tidak akan membelakangkan prinsip,” katanya selepas mengedarkan 500 kuntum ros di Pasar Tani UTC Pahang di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar semalam yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan keluar parti itu.

Xavier memilih untuk menjadi Ahli Parlimen bebas yang  menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Fuziah, sekiranya tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat itu mempunyai kaitan dengan tekanan yang diterima daripada agensi kerajaan maka ia perlu dihentikan.

Namun tambah beliau, bagi PKR perjuang perlu diteruskan dan parti itu telah bersedia dengan gerak kerja bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 akan datang. – MalaysiaGazette