Nga Kor Ming. foto NOOREEZA HASHIM, 08 OKTOBER 2019.

IPOH – DAP Perak meluahkan hasrat untuk bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) di negeri itu, mengenai pengagihan kerusi tersebut bagi mengelakkan berlakunya sebarang pertembungan kerusi kelak.

“Saya dengan sukacita mencadangkan dan akan membincangkan dengan rakan-rakan kita dengan Asmuni dan Farhash, supaya DAP diberikan ruang dan peluang untuk membantu PH memenangi semula DUN dan menuju ke Putrajaya.

“Kita mempunyai rekod pencapaian yang membanggakan, tetapi demi menghormati rakan-rakan seperjuangan yang lain, saya cuba merayu dan memohon, supaya Majlis Presiden Pakatan Harapan merestui hasrat kita supaya dapat membantu kembali mengambil semula pimpinan kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak ke-19 yang dirasmikan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC) di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DAP memenangi kesemua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi parti tersebut, iaitu tujuh kerusi Parlimen dan 18 DUN.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A. Sivasubramaniam, kedua-duanya dari DAP, keluar dari parti itu Mac lalu kini telah menyertai Bersatu. – Bernama