Thursday, April 25, 2024
Home Nasional Covid-19: 500 kes baharu harian pada Mei ini

Covid-19: 500 kes baharu harian pada Mei ini

Dr. Adham Baba
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan sebanyak 500 kes baharu harian jangkitan Covid-19 menjelang Mei depan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jangkaan itu mampu dicapai dengan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught COVID-19 kurang 1.0 ketika itu.
Beliau berkata, ia juga berdasarkan trend penurunan kes mengikut negeri yang dicapai sehingga hari ini.
“Data ini melihat trend penurunan kekal dan jika rakyat terus patuh kepada SOP, kita jangkakan kes akan berada dalam lingkungan 500 sehari menjelang Mei depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Perkembangan Program Imuniasi Covid-19 Kebangsaan di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Sementara itu, Dr Adham berkata, sebanyak 11 daerah di Semenanjung memperoleh status zon hijau berbanding enam daerah pada 28 Februari lalu.
Jelas beliau, 11 daerah di Sarawak manakala dua daerah di Sabah juga telah bertukar status kepada zon hijau.
“Status daerah yang berada dalam zon merah juga telah berkurang di seluruh negara.
“Justeru, kami merayu agar semua rakyat terus patuh kepada SOP yang ditetapkan dan mengamalkan budaya atau normal baharu untuk kita sama-sama putuskan jangkitan virus ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette