Tun Dr Mahathir Mohamad Najib Razak stay of execution SRC International guilty appeal
Tun Dr Mahathir Mohamad

BERIKUT paparan pada laman Facebook Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai isu penempatan di Bukit Malut, Langkawi, beliau sekali lagi menunjukkan ketidakmampuannya dalam menangani isu-isu yang dihadapi rakyat.(Sumber: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10158109517228652/?d=n Sumber: http://chedet.cc/?p=3336).

Kata beliau, isu ini sudah ‘berlarutan agak lama, juga semasa saya menjadi Perdana Menteri’. Selepas itu, katanya ‘penyelesaian isu ini memerlukan tindakan pro-aktif Kerajaan Persekutuan’.

Kini, Dr. Mahathir yang dengan secara mengejutnya melepaskan jawatan Perdana Menteri semasa kemelut politik tahun lepas ingin mengalihkan perhatian daripada satu lagi kegagalan pentadbirannya dengan menyatakan bahawa isu ini perlu tindakan dari Kerajaan Persekutuan.

Pelbagai alasan diberinya seperti penglibatan agensi-agensi di bawah Kerajaan Persekutuan dan ketidakmampuan Kerajaan Negeri Kedah untuk membiayai kos pembangunan penempatan baharu.

Persoalannya, mengapakah selaku pegawai eksekutif tertinggi kerajaan pada ketika itu, Dr. Mahathir sama sekali tidak mengambil sebarang tindakan dalam menangani isu ini? Adakah ini alasan yang munasabah daripada seorang pemimpin yang mana khidmatnya sebagai Perdana Menteri adalah antara paling lama di dunia?

Mungkin ia merupakan alasan semata-mata menutupi kegagalannya dalam mencari penyelesaian kepada keluhan rakyat Langkawi. Ini bukan kali pertama Dr Mahathir tidak dapat menunaikan janjinya kepada rakyat.

Perlu kita ingat akan kegagalan Dr Mahathir dalam menunaikan janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan. Sudah jelasnya Dr Mahathir tidak berminat untuk memulangkan ‘rule of law’ ataupun demokrasi, mahupun keselesaan hidup dan kesejahteraan rakyat.

Kegagalan PH dalam melaksanakan manifesto yang dijanjikan boleh dikaitkan secara langsung dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa manifesto bukan kitab suci. Ini menyebabkan kebanyakan rakyat hilang kepercayaan dalam Pakatan Harapan dan Dr. Mahathir.

Adalah sangat mengecewakan apabila seorang pemimpin yang sepatutnya berkaliber dan berwibawa hanya mampu memberi kenyataan seperti dalam laman Facebook, seolah-olahnya menunjukkan beliau tidak berusaha dalam menjalankan tanggungjawabnya terhadap rakyat.

Jika kita imbas kembali kegagalan Dr Mahathir yang lain, seperti skandal forex pada awal tahun 90-an yang menyebabkan kerugian bernilai antara RM16 bilion hingga RM31 bilion.

Kemudiannya Tun Dr Mahathir menyalahkan George Soros dan akibatnya Soros pula menjadi punca utama Krisis Kewangan Asia 1997 yang mana nilai ringgit jatuh menjunam.

Dengan ini kita boleh lihat corak Dr. Mahathir dalam mengagihkan segala kegagalan dan kesalahannya kepada individu-individu lain yang secara tidak langsung mendatangkan kemudaratan untuk kita semua akibat kecuaian semasa melaksanakan tanggungjawab memimpin negara.

Legasi yang ditinggalkan Dr. Mahathir mungkin mempunyai banyak kejayaan dan kegemilangan zaman pentadbirannya, akan tetapi terdapat juga detik-detik pahit yang sebenarnya memberi kesan buruk yang berkekalan sehingga hari ini.

Dr. Mahathir sepatutnya tidak menuding jari ke mana-mana pihak lain dan cuba sedaya upayanya untuk menangani isu rakyat. Jika tidak, baik mengundur untuk memberi ruang kepada orang lain untuk mengambil alih sebagai wakil rakyat.

Shahrul Naim
Pembaca Malaysia Gazette

1 Komen

  1. Tanpa sokongan PADU rakyat Atok tak akan mampu berbuat apa2 lagi, Pakatan Hancing telah membuktikannya, hanya meninggalkan legasi kehancuran ekonomi!

    Legasi zaman kegemilangan dahulu pun sebab punyai sokongan dan dokongan kuat orang2 Melayu, tapi kini tiada lagi.

Comments are closed.