Vaksin AstraZeneca. foto Reuters

DUBLIN – Ireland menjadi negara terbaharu yang menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas laporan berlaku darah beku yang serius kepada beberapa penerima vaksin di Norway.

Tiga pekerja kesihatan di Norway yang baru-baru ini menerima vaksin AstraZeneca dirawat di hospital kerana berlaku pendarahan, pembekuan darah dan mengalami platelet darah yang rendah.

Jawatankuasa Penasihat Imunisasi Nasional Ireland (NIAC) mengesyorkan penangguhan itu sementara menunggu lebih banyak maklumat daripada Agensi Ubat Eropah (EMA).

AstraZeneca pada hari Ahad mengatakan ia telah melakukan tinjauan yang merangkumi lebih daripada 17 juta orang yang diberi vaksin di Kesatuan Eropah dan United Kingdom, yang mana tidak menunjukkan bukti vaksinnya mengakibatkan peningkatan risiko pembekuan darah.

Denmark, Norway dan Iceland telah menangguhkan penggunaan vaksin ini kerana masalah pembekuan darah, sementara Thailand menjadi negara pertama di luar Eropah membuat keputusan sama.

Wilayah utara Piedmont di Itali turut memaklumkan akan menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca setelah seorang guru meninggal dunia selepas divaksinasi pada hari Sabtu.

Austria juga berhenti menggunakan kumpulan vaksin itu minggu lalu.

EMA memaklumkan tidak ada indikasi bahawa kejadian itu disebabkan oleh vaksinasi, pandangan sama turut disuarakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia

Pihak berkuasa Ireland menerima beberapa laporan pembekuan darah yang serupa berlaku di Eropah minggu lalu tetapi tidak begitu serius seperti kes di Norway, kata Timbalan Ketua Pegawai Perubatan, Ronan Glynn.

Glynn mengatakan kes-kes Norway berkaitan dengan kluster empat kejadian pembekuan darah luar biasa yang melibatkan otak pada penerima yang berusia 30 hingga 40 tahun, menimbulkan tahap kebimbangan yang lebih tinggi.

Vaksinasi AstraZeneca merangkumi 20% daripada 590,000 suntikan yang dilakukan dalam kalangan 4.9 juta penduduk Ireland, terutamanya kepada pekerja kesihatan setelah penggunaannya pada awalnya tidak disyorkan untuk mereka yang berusia lebih dari 70 tahun.

Terdapat 4,534 kematian yang berkaitan dengan Covid-19 di Ireland. Jumlah kes bagi setiap 100, 000 orang dalam 14 hari kebelakangan ini menurun kepada 151 daripada jumlah tertinggi 1,500 pada bulan Januari.

Meskipun begitu, ada sedikit peningkatan kes baharu sejak beberapa hari ini. – MalaysiaGazette