Pesawat pejuang F-35

STOCKHOLM – Penghantaran senjata antarabangsa tidak berubah antara tahun 2016-2020, sekali gus mengakhiri kenaikan lebih daripada satu dekad, kata Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) dalam sebuah laporan pada hari Isnin.

Amerika Syarikat, Perancis dan Jerman – tiga daripada pengeksport terbesar di dunia – meningkatkan penghantaran, tetapi penurunan eksport dari Rusia dan China mengimbangi kenaikan

Ini adalah pertama kali sejak tahun 2001–2005 jumlah penghantaran senjata utama antara negara – indikator permintaan – tidak meningkat dari tempoh lima tahun sebelumnya, kata SIPRI.

Walaupun wabak Covid-19 telah mematikan ekonomi di seluruh dunia dan mendorong banyak negara terjerumus dalam kemelesetan, SIPRI berkata masih terlalu awal untuk mengatakan situasi ini akan berlarutan.

“Kesan ekonomi akibat pandemi Covid-19 dapat menyaksikan beberapa negara menilai semula import senjata pada tahun-tahun mendatang,” kata Pieter Wezeman, Penyelidik Kanan Program Senjata dan Pengeluaran Tentera SIPRI,

Namun, pada masa yang sama, bahkan pada puncak wabak pada tahun 2020, beberapa negara telah menandatangani kontrak besar untuk senjata utama.

Emiriah Arab Bersatu, misalnya, baru-baru ini menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat untuk membeli 50 jet F-35 dan hingga 18 dron bersenjata sebagai sebahagian daripada pakej bernilai AS$ 23 bilion.

Negara-negara Timur Tengah menyumbang peningkatan terbesar dalam import senjata, meningkat 25% pada tahun 2016-2020 dari tahun 2011–2015.

Arab Saudi, pengimport senjata terbesar di dunia, meningkatkan import senjata sebanyak 61% dan Qatar sebanyak 361%.

Asia dan Oceania adalah wilayah pengimport terbesar untuk senjata utama, menerima 42% dari pemindahan senjata global pada tahun 2016-2020.

India, Australia, China, Korea Selatan dan Pakistan merupakan pengimport terbesar di rantau ini.

“Bagi kebanyakan negara di Asia dan Oceania, persepsi China yang semakin meningkat sebagai ancaman adalah pendorong utama pengimportan senjata,” kata Siemon Wezeman, Penyelidik Kanan di SIPRI. – MalaysiaGazette