Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse
Jimmy Puah Wee Tse.

KUALA LUMPUR – PKR Johor menawarkan khidmat guaman percuma (pro-bono) kepada semua penduduk di negeri itu yang dikompaun di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata,  tindakan berkenaan diambil ekoran penetapan kompaun yang dikuatkuasakan baru-baru ini  dilihat menekan rakyat khususnya ketika pandemik Covid-19.

Beliau memaklumkan akan bersama-sama dengan pasukan peguam dalam PKR untuk menawarkan khidmat percuma terhadap rakyat yang dikompaun.

“Tidak menjadi kesalahan apabila kerajaan menguatkuasakan sesuatu hukuman bertujuan mendidik rakyat agar mereka patuh kepada undang-undang tetapi kerajaan juga perlu mengambil kira keadaan semasa rakyat yang terhimpit dengan masalah ekonomi seperti kehilangan kerja, pendapatan dipotong atau perniagaan merosot kesan daripada pandemik Covid 19. Sudah tentu nilai RM10,000 besar buat mereka untuk teruskan kehidupan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jimmy terdahulu berkata, kerajaan sepatutnya mengenakan kompaun terhadap pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) secara berperingkat.

Ujarnya bagi kesalahan pertama sepatutnya kompaun yang dikenakan adalah RM1,000.

Manakala kesalahan kedua RM3,000, kesalahan ketiga RM5,000 dan  seterusnya RM10,000.

Dalam masa yang sama beliau berkata, kerajaan perlu bersikap adil dalam mengenakan hukuman kepada rakyat biasa dengan wakil rakyat kerajaan.

“Jika rakyat dikenakan kompaun RM10,000 maka menteri juga patut dikompaun dengan jumlah yang sama. Tolong jangan ulangi peristiwa dimana ‘Makcik Gelang Pink’ dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 tetapi Khairuddin, Menteri Perusahaan Ladang dan Komoditi cuma didenda RM1,000.

“Walhal keduanya melakukan kesalahan yang sama iaitu ingkar arahan kuarantin,” tambahnya.

Untuk rekod, bermula 11 Mac lalu, kerajaan menguatkuasakan kompaun berjumlah RM10,000 hingga RM100,000 dan penjara maksimum 7 tahun kepada individu yang didapati ingkar SOP pencegahan wabak Covid-19.

Bagaimanapun jelas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, rayuan mengurangkan jumlah kompaun boleh dibuat dengan Pegawai Kesihatan Daerah.-MalaysiaGazette