Sisa-sisa buangan ternakan udang turut ditemui dalam saliran di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang mengambil tindakan segera berhubung isu pencemaran air di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau yang didakwa berpunca daripada aktiviti ternakan udang.

Tindakan boleh diambil melalui penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perikanan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, masalah yang berlaku sejak 20 tahun itu menyebabkan pendapatan kira-kira 300 nelayan di kawasan berkenaan kian merosot.

Katanya, aktiviti ternakan udang itu juga memusnahkan beratus hektar hutan bakau di kawasan tersebut akibat pembuangan sisa-sisa kolam ke dalam saliran, sungai serta laut berhampiran.

Keadaan sisa buangan yang terdapat di dalam saliran berhampiran kolam ternakan udang.

“Banyak aduan dibuat oleh nelayan-nelayan yang terlibat kepada pihak berkenaan tetapi tidak ada tindakan diambil.

“Berikutan itu, tempat hidupan laut membiak telah terancam manakala ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan di kawasan tersebut semakin pupus.

“Jika masalah ini tidak berlaku mereka memperolehi pendapatan mencecah RM200 sehari tetapi sekarang hanya tinggal RM30 hingga RM70 saja sehari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohideen, selain mencemarkan sungai dan laut, sisa buangan dari kolam udang ini juga telah menyebabkan saliran di kawasan itu menjadi cetek akibat mendapan bahan tersebut.

Saliran menjadi cetek akibat sisa buangan kolam ternakan udang di Kuala Sungai Pinang.

“Kita harap masalah ini ditangani dengan berkesan agar alam sekitar di kawasan itu tidak tercemar teruk pada masa akan datang.

“Pihak CAP turut membantah jika terdapat rancangan baharu oleh mana-mana pihak untuk meneroka hutan paya bakau di kawasan ini bagi melaksanakan perojek ternakan udang kerana ia boleh mencetuskan ancaman lebih buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan nelayan tempatan,” ujar Mohideen. – MalaysiaGazette