LONDON – Liverpool kembali bernyawa untuk merebut tempat dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Wolves 1-0 di Stadium Molineux di sini awal pagi tadi.
Bekas pemainnya, Diogo Jota menjadi duri dalam daging apabila meledak gol tunggal permainan.
Gol pertamanya sejak kembali beraksi itu membolehkan skuad kendalian Jurgen Klopp melonjak ke tangga keenam dan hanya lima mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat.
Perlawanan itu turut menyaksikan penjaga gol tuan rumah, Rui Patricio mengalami kecederaan selepas kepalanya terhantuk dengan rakan sepasukan, Connor Coady.
Wolves berdepan masalah kecederaan di kepala pemainnya sebelum ini apabila penjaring terbanyaknya sepanjang dua musim lalu, Raul Jimenez terpaksa direhatkan selepas tengkoraknya retak ketika menentang Arsenal pada November lalu.
Ketiadaan Jimenez memberi kesan kepada skuad kendalian Nuno Espirito Santo selepas kehilangan Jota yang menyertai juara Inggeris itu pada harga 41 juta pound (RM234.33 juta) pada September lalu.
Sepanjang tiga bulan lalu, Liverpool turut merindui sentuhan Jota yang cedera di bahagian lutut, sekali gus membantutkan permulaan cemerlangnya di Anfield. – MalaysiaGazette
















