Former Deputy Prime Minister cum President of UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi arrives at the Kuala Lumpur Courts Complex for his corruption, money-laundering and criminal breach of trust trial involving millions ringgit of funds belonging to Yayasan Akalbudi. PIX: AZADI MOHAMAD ISKANDAR / MalaysiaGazette / 28 AUGUST 2020. not politically motivated
Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, laporan media berkaitan kesnya di mahkamah setakat ini adalah berdasarkan proses pertama perbicaraan.
Ia juga berdasarkan kenyataan saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, katanya.
Memberikan penjelasan, Ahmad Zahid berkata, proses pertama dalam perbicaraan dipanggil prima facie di mana pada peringkat ini pihak pendakwaan perlu membuktikan kes terhadapnya terlebih dahulu.
Pada fasa pertama ini pihak pendakwa yang akan memanggil kesemua saksi mereka terlebih dahulu untuk didengari di mahkamah.
“Pada proses ini pihak saya tidak akan memberi sebarang kenyataan. Saya cuma dibenar untuk mendengar dan memerhati.
“Selepas proses pertama ini selesai, mahkamah akan membuat penilaian sama ada
pendakwa berjaya membuktikan prima facie,” katanya sambil menjelaskan maksud prima facie iaitu pandangan pertama (on its first appearance) .
Menjelaskan lebih lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, jika pendakwa gagal membuktikan prima facie, dengan izin Allah beliau akan dilepaskan.
Jika sebaliknya maka bermulalah proses kedua.
“Barulah giliran saya pula diarahkan membela diri daripada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atasĀ  saya.
“Pihak mahkamah akan mendengar pula kenyataan daripada saksi-saksi barisan pembelaan saya,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Menurut Ahmad Zahid, perkongsian maklumat tentang perjalanan kesnya itu kerana banyak permintaan supaya beliau membuat penjelasan mengenainya secara terbuka di laman Facebook.
Katanya, walaupun memahami akan permintaan tersebut namun beliau tidak dibenarkan berbuat demikian malah boleh dikenakan tindakan ‘subjudice’ dan ‘contempt of court’ kerana akan dilihat seolah-olah cuba menyakinkan atau mempengaruhi orang lain.
“Bagaimanapun saya fikir mungkin saya boleh kongsikan maklumat mengenai proses perbicaraan ini.
“Mungkin perkongsian ini dapat membantu saudara-saudari memahami serba sedikit apa yang sedang saya lalui ketika ini,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan di atas sokongan serta doa yang diberikan kepadanya
“InsyaAllah saya dan barisan peguam akan terus menghadapi proses perbicaraan ini dengan tenang dan cekal,” katanya.
Ahmad Zahid, 68, yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram daripada dana milik Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette