Khairy Jamaluddin Abu Bakar Covid-19 vaccine National Covid-19 Immunisation Prorgamme registration Undi 18 delay EC Election Commission work performance online poll survey
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hanya akan berjaya sekiranya mendapat sokongan semua pihak menerusi pendekatan menyeluruh.

Itu penjelasan Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjawab persoalan dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan PICK hari ini.

Menerusi kenyataan, beliau berkata, pendaftaran vaksinasi yang tidak lengkap oleh 1.4 juta orang pengguna akan disusuli dengan pesanan ringkas (SMS) kepada mereka agar melengkapkan penilaian vaksinasi seterusnya membolehkan maklumat temujanji diberikan.

“Sementara itu, berkenaan pendaftaran berkali-kali pula, MySejahtera sememangnya mempunyai rekod ketika pendaftaran vaksinasi kali pertama dibuat, justeru pengguna sebenarnya tidak perlu membuat pendaftaran berulang.

“Manakala, bagi program-program kesedaran melawan kumpulan anti-vaksin serta memberi keyakinan kepada orang ramai ini sememangnya telah banyak kali dilakukan bukan sahaja oleh saya, malah juga pihak lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Seterusnya, bagi persoalan berkenaan perolehan vaksin, kerajaan masih terikat dengan perjanjian tanpa pendedahan yang dimeterai bersama syarikat pengeluar vaksin, katanya.

“Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta saya pada 5 Januari lalu telah pun membentangkan maklumat serta perincian lanjut berkenaan perkara ini kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia.

“Butiran serta kertas perjanjian juga telah ditunjukkan kepada PAC bahkan menerusi kenyataan pengerusinya telah menyatakan bahawa PAC berpuas hati dengan pembentangan dan tatacara perolehahan vaksin Covid-19,” tambah Khairy.

Bagaimanapun, beliau berkata, andaian kerajaan tidak memberi perhatian terhadap vaksin daripada negara Rusia, Sputnik V adalah tidak benar.

“Ia memandangkan vaksin Sputnik V sememangnya terdapat di dalam potfolio pembelian vaksin Covid-19 negara dan ketika ini sedang dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan kelulusan dan pendaftaran,” katanya lagi.

Selain itu, persoalan berkenaan penglibatan penyelidik tempatan dalam pembangunan vaksin juga telah saya maklumkan bahawa MOSTI telah membiayai R&D vaksin tempatan bagi penyakit Covid-19 menerusi MOSTI Combating Covid-19 Fund (MCCOF) kepada dua kumpulan penyelidik iaitu dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Namun pada masa yang sama, kita juga mengakui Malaysia tidak mempunyai fasiliti lengkap pembuatan vaksin,” ujarnya.

Mengulas lanjut persoalan itu, Khairy berkata, dalam rundingan pembelian vaksin Covid-19 dengan beberapa pembekal, kerajaan telah memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara pada masa hadapan,” katanya.

Justeru, maklumat berkenaan nilai tambah ini telah dimuatkan dalam buku panduan PICK yang boleh dimuat turun di laman sesawang www.vaksincovid.gov.my.

“Oleh demikian, maklumat lanjut berkenaan PICK akan saya bentangkan di dalam sesi taklimat kepada ahli Parlimen yang akan diadakan tidak lama lagi,” tegasnya. – MalaysiaGazette