Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin (tengah) bersama-sama para pegawai utama UMS merakamkan gambar bersama para penerima Anugerah Sanjungan Budi yang diperkenalkan bagi menghargai kakitangan yang berkhidmat di UMS selama lebih 25 tahun.

KUALA LUMPUR – Seramai 524 kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima penghargaan pelbagai anugerah pada Majlis Apresiasi 2019 dan 2020 yang berlangsung secara hibrid hari ini.

Program berlangsung di Galeri Majlis, UMS Kota Kinabalu dan turut disiarkan secara maya melalui laman Facebook rasmi UMS.Official dan saluran YouTube UMS.Net.

Penghargaan Anugerah Jasamu Dikenang telah diberikan kepada seramai 39 orang kakitangan UMS yang bersara termasuk empat kakitangan yang telah meninggal dunia dalam perkhidmatan sebagai menghargai sumbangan jasa bakti mereka sepanjang berkhidmat.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, majlis ini merupakan manifestasi dan komitmen pihak pengurusan untuk menghargai sumbangan dan kecemerlangan para pesara dan juga kakitangan UMS.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin (tengah) menyampaikan sijil Anugerah Jasamu Dikenang kepada Prof. Dr. Felix Tongkul

“Pada tahun ini juga kita telah memperkenalkan satu lagi anugerah iaitu Anugerah Sanjungan Budi, Anugerah Jasa Setia dan Anugerah Jasa Bakti susulan tanda penghargaan untuk mereka yang telah menabur khidmat bakti kepada UMS.

“Sebanyak 146 kakitangan merangkumi pelbagai skim jawatan di peringkat kakitangan sokongan dan pengurusan termasuk kakitangan akademik juga dipilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi Tahun 2019.

“Kesemua penerima APC akan menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang, dan juga insentif kecemerlangan prestasi sebanyak RM1,000 yang telah pun dikreditkan ke akaun penerima pada awal tahun 2021,” katanya selaku pemberi anugerah itu.

Dalam pada itu, Taufiq berkata, setiap penjawat awam dituntut untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada masyarakat sepanjang berkhidmat, dan masing-masing perlu berperanan dalam memastikan perkhidmatan yang disampaikan bersih dan berintegriti.

“Tugas sebagai penjawat awam merupakan satu amanah dan harus dipikul dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab.

“Budaya kerja haruslah dilakukan secara berhemah dan berintegriti dalam menepati visi dan misi organisasi,” ujarnya.

Hadir sama, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar serta para pegawai utama dan kanan UMS. -MalaysiaGazette