Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.

Katanya, langkah itu selaras dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan strategi kawalan penularan Covid-19 secara lebih bersasar dengan bersandarkan sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara.

Kerajaan juga, kata Perdana Menteri, mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang kini telah memasuki minggu ketiga.

Beliau berkata demikian ketika berucap mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang memberi tumpuan kepada lima fokus utama dan 20 inisiatif untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara.

Perdana Menteri turut menarik perhatian mengenai pematuhan Prosedur Operasi Standard dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Katanya, penguatkuasaan itu selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Menurut Muhyiddin, bagi melindungi golongan pekerja pula, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan melaksanakan inisiatif Safe@Work yang mempertanggungjawabkan majikan untuk menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif bagi para pekerja.

Syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program Safe@Work akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain.

Mereka akan diletakkan di dalam “safe work bubble” sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada Covid-19.

“Sebagai galakan kepada syarikat untuk menyertai program yang bersifat sukarela ini, kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pengilangan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja.

“Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada RM50,000bagi setiap syarikat yang berdaftar dengan MITI dan telah lulus audit pematuhan Safe@Work. Syarikat boleh mendaftar mulai 1 April 2021,” katanya.

Bagi majikan yang membuat ujian pengesanan Covid-19 untuk pekerjanya, mereka dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan bagi perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember 2021. – MalaysiaGazette